GEORGE TOWN: Sebuah restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul di sini diberi notis untuk penjelasan berhubung isu lima biji bendi yang didakwa dijual dengan harga RM20.
Timbalan Ketua Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang Chin Ching Chung berkata notis itu dikeluarkan semasa pemeriksaan di restoran berkenaan pada pukul 11 pagi ini.
“Pemeriksaan itu dijalankan selepas perkara berkenaan menjadi viral di laman sosial. Notis dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi memberi peluang kepada peniaga untuk mengemukakan penjelasan dalam tempoh tiga hari sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.
Dimaklumkan ia adalah kesilapan teknikal dan jika benar pihak restoran perlu buktikan, katanya ketika dihubungi, Isnin.
Sementara itu, jurucakap restoran itu menjelaskan sebiji bendi sebenarnya dijual pada harga 40 sen dan menyifatkan isu itu sebagai ‘salah faham’ kerana berlaku kesilapan teknikal di pihak juruwang.
Beliau berkata pihaknya telah meminta pelanggan berkenaan tampil membuat tuntutan bayaran balik menerusi laman Facebook namun belum menerima sebarang maklum balas setakat ini.