Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan inisiatif Tabung Amanah Peserta Felcra dengan suntikan modal permulaan berjumlah RM10 juta.
Beliau berkata tabung itu akan di kendalikan oleh Felcra Berhad dan setiap tahun bakal menerima suntikan dana sejumlah RM5 juta.
“Kalau kewangan kukuh maka lebih besar penjanaannya nanti,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran pembinaan Menara Felcra di sini, Khamis.
Tabung itu antara lain bertujuan membantu peserta Felcra dalam meningkatkan taraf hidup serta pendapatan peserta.
Hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Pengerusi Felcra, Datuk Bung Moktar Radin.
Terletak di Jalan Sultan Yahya Petra (dahulunya Jalan Semarak), kawasan itu bakal dibina dengan menara pejabat setinggi 35 tingkat, apartmen servis setinggi 43 tingkat dan pusat komersial yang meliputi pusat beli-belah, auditorium serta dewan banquet.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata dalam memastikan kemajuan ekonomi yang sama rata, perlu ada pertalian antara luar bandar, bandar serta pasaran global yang sekali gus dapat melonjakkan pencapaian ekonomi negara.
“Bila kita dapat lonjakan nilai ekonomi kita mesti pulangkan hasil itu kembali kepada rakyat di bandar mahu pun luar bandar,” katanya.
Justeru, beliau amat tertarik dengan pembinaan Menara Felcra kerana menerusinya nanti bukan sahaja dapat membantu melonjakkan pendapatan Felcra malah hasilnya dapat dikongsi bersama dengan peserta.
Najib berkata Felcra turut diberi perhatian kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, dan melaluinya peruntukan besar diberikan kepada pembangunan luar bandar.
Ia sekali gus membuktikan Felcra memainkan peranan penting dalam pembangunan negara meskipun adakalanya saiz tanah yang dibangunkan lebih kecil berbanding Felda, katanya.