RANAU: Seorang pendaki dari Singapura dilaporkan maut susulan kejadian gempa bumi di Gunung Kinabalu, hari ini.
Ia disahkan seorang doktor dari Pahang, Dr Redzlan Abdul Rahman yang menyertai pendakian satu kumpulan pelajar dari Raub.
Beliau yang tiba di Pondok Timpohon kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi berkata, pemeriksaan terhadap pendaki wanita berumur lingkungan 20-an itu mendapati tiada denyutan nadi.
“Rakan pendaki terpaksa meletakkannya di tepi jalan sementara menunggu pasukan menyelamat,” katanya.
Sementara itu sebanyak 105 pendaki di Gunung Kinabalu dikhuatiri terperangkap selepas berlaku gempa bumi berskala 5.9 richter di negeri itu awal pagi ini.
Menurut jurucakap Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), sebanyak 89 pendaki lagi masih hilang dan tidak dapat dikesan.
“Jumlah pendaki keseluruhan ialah sebanyak 195 orang dan kami yakin semuanya selamat.
“Walau bagaimanapun, yang kami risau ialah pendaki ini jatuh ke dalam gaung di gunung terbabit yang kedalamannya lebih 100 meter,” katanya.
Menurut jurucakap itu, pasukan SMART yang akan diketuai oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab dijangka ke Sabah hari ini.