Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiada dana yang dikhususkan bagi keselamatan di Sabah telah dilencongkan atau dikurangkan untuk pembelian jet kerajaan.
“Keselamatan di Sabah tiada kaitan langsung dengan pembelian jet rasmi,”katanya dalam ruangan soalan lazim yang ditanya dalam blog beliau najibrazak.com bagi menjawab soalan berkaitan pembelian kapal terbang itu ketika negara berdepan dengan isu keselamatan di Sabah.
Perdana Menteri berkata oleh kerana kerajaan prihatin dengan soal keselamatan, ia telah mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk meningkatkan kawalan di sempadan Sabah, mengerahkan lima batalion terdiri daripada polis dan tentera untuk memantapkan kawalan di kawasan timur Sabah.
Esscom, katanya memastikan keselamatan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) meliputi 10 daerah di timur Sabah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Najib berkata walaupun Esscom telah berjaya mencegah pencerobohan baharu, penculikan terus menjadi ancaman terhadap keselamatan.
“Situasi ini kekal rumit susulan pemberontakan di selatan Filipina dan sempadan maritim Malaysia yang luas.
“Kerajaan telah meningkatkan rondaan dan operasi di seluruh kawasan berkenaan dan akan terus berbuat demikian,” katanya.
Najib menegaskan penculikan telah berlaku selama beberapa dekad tetapi tidak banyak yang telah dilakukan sebelum ini.
“Pendek kata, inilah situasi keselamatan yang saya warisi dan pengganas pilih untuk eksploitasi,” katanya dan menurutnya pencerobohan di Lahad Datu oleh warga asing menunjukkan betapa lemahnya keselamatan negara pada ketika itu.
Kerajaan, katanya komited untuk menghalang perkara itu daripada berulang.
“Kita juga akan senantiasa terhutang budi kepada semua yang telah mengorbankan nyawa mereka untuk mempertahankan dan melindungi kedaulatan negara kita,” katanya.