Penurunan harga minyak boleh menyebabkan Malaysia dilanda krisis ekonomi sekiranya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata GST, yang menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) telah membantu meluaskan hasil negara bagi mengelakkan pergantungan tinggi kepada hasil minyak.
GST ialah sistem cukai yang dilaksanakan di seluruh dunia yang lebih telus dan bersistematik berbanding SST, katanya, sambil menambah perubahan dalam sistem cukai negara tidak dapat dielakkan.
Najib, yang juga menteri kewangan berkata dengan perubahan itu, Malaysia kini mempunyai arus pendapatan yang lebih pelbagai dan asas yang kukuh.
“Komuniti perniagaan dan pelabur asing kekal optimistik,” kata beliau dalam catatan terbaharunya di blog NajibRazak.com.