Sebanyak 296 laman web dan laman sosial disiasat dan diambil tindakan kerana didapati menjual ubat yang tidak berdaftar, dicampur racun serta kosmetik tidak bernotifikasi dalam Operasi Pangea VII selama lapan hari bermula 9 Jun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 45,317 bungkusan dan 130 premis diperiksa dengan nilai rampasan keseluruhan RM830,663, hasil pemeriksaan di semua pintu masuk utama negara membabitkan pusat mel dan kurier, lapangan terbang, pos sempadan, terminal feri dan lain-lain.
“Daripada jumlah itu, 283 bungkusan pos dan kurier bernilai RM405,833 turut dirampas.
“Antara produk utama yang dikesan dan dirampas adalah produk perangsang seks, pelangsing badan, kosmetik dan produk tradisional dicampur racun yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, ubat-ubatan tersebut dirampas oleh kementerian dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Cybersecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia kerana didapati menjual ubat-ubatan yang tidak berdaftar, di campur racun mahupun kosmetik tidak bernotifikasi.
“Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan pusat mel dan kurier, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri dan hasilnya, kita telah memeriksa 45,317 bungkusan dari 130 premis melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM 830,663.
“Daripada jumlah tersebut 283 bungkusan pos dan kurier bernilai RM 405,833 turut dirampas,” katanya lagi.
Menurut Noor Hisham, ‘Operasi Pangea VIII’ yang bermula 9 hingga 16 Jun lalu bertujuan menangani rangkaian jenayah di sebalik penjualan ubat-ubatan melalui internet melibatkan 236 agensi penguatkuasaan lain melibatkan 115 buah negara.
Hasil keseluruhan operasi tersebut, sebanyak 20.1 juta ubat-ubatan yang dipercayai boleh membahayakan pengguna bernilai kira-kira RM 300.9 juta (USD 81.1 million) telah dirampas di seluruh dunia malah 5,907 laman web dan laman sosial yang terlibat dengan penjualan ubat tiruan dan tidak sah telah disiasat dan ditutup di seluruh dunia.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan iklan atau testimoni di laman web ataupun penjual yang menawarkan ubat-ubatan dengan harga murah atau dengan tuntutan perubatan yang tidak munasabah dan memastikan produk kesihatan yang hendak dibeli adalah produk berdaftar yang mempunyai Nombor Pendaftaran ‘MAL’ dan label Hologram Meditag.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau aduan berhubung penjualan ubat-ubatan, sila hubungi Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-78413200 atau mana-mana pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi Negeri.