Sejumlah 109 orang telah ditangkap di Agra, Uttar Pradesh, sebuah bandar pelancongan di mana terletaknya Taj Mahal semalam.
Ia merupakan usaha Polis Stesen Keretapi membanteras perbuatan orang ramai yang membuang air kecil di merata-rata tempat awam.
Mereka yang ditangkap bukan sahaja ditahan selama hampir 24 jam di balai polis tempatan, malah turut didenda sehingga 500 rupee (kira-kira RM30).
Kebanyakan mereka ditangkap ketika membuang air kecil di atas platform dan landasan kereta api.
“Kami telah menjalankan operasi dan menangkap orang ramai yang membuang air kecil di seluruh premis. 109 orang telah ditangkap dan kami berusaha untuk menjaga kebersihan,” kata Penguasa Superintendan Polis Stesen Keretapi G.N Khanna kepada saluran berita NDTV.
Menurut beliau, masyarakat secara umumnya mempunyai tabiat membuat kotoran di sekitar premis keretapi berkenaan.
“Kawasan yang harus dikekalkan bersih meliputi kawasan yang bebas daripada sebarang kotoran dan najis,” katanya.
Malah, Perdana Menteri India Narendra Modi telah menjadikan masalah membuang air kecil itu sebagai sebahagian daripada kempen ‘Bersihkan India’ sejak akhir tahun lepas.
Kerajaan Modi berusaha untuk mengubah sikap orang ramai terhadap isu ini melalui kempen awam.
Ini termasuk, memaparkan papan iklan dalam bahasa Hindi yang menunjukkan seorang lelaki bertentangan pada dinding, “Berapa lama anda akan bertanggungjawab? Sekurang-kurangnya punyailah sikap malu. Bersihkan minda anda”.
Kerajaan juga menghasilkan video klip yang menunjukkan bahawa orang ramai bertepuk tangan selepas seseorang membuat kotor, seperti membuang air besar dalam khalayak ramai sebagai antara cara untuk memalukan mereka.