Seorang ibu beranak dua terselamat daripada maut ketika dilanggar kereta kerana memiliki payudara bersaiz besar.
Sarah Foster, 28, mengaku sebelum ini tidak sukakan bentuk badannya termasuk saiz payudara 38JJ, namun kini bersyukur selepas ia menjadi kusyen yang melantunkannya seterusnya menyelamatkan nyawanya dalam kemalangan itu.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas ketika dia keluar dari kereta yang diparkir di tepi jalan untuk merokok dan membuat panggilan telefon.
‘Tiba-tiba saya dilanggar kereta lain selepas pemandunya hilang kawalan. Tetapi saya terselamat apabila saya terus melantun dari cermin hadapan kereta itu ke jalan akibat payudara saya.
“Paramedik yang merawat saya di tempat kejadian berkata saya amat bernasib baik dan sepatutnya bersyukur dikurniakan ‘beg udara’ semulajadi. Memang itulah kata-katanya pada saya.
“Doktor yang merawat saya juga terkejut. Saya masih ingat kata-katanya: ‘Saya tidak tahu bagaimana kamu boleh terselamat, baju dan kasut kamu semua terpelanting akibat pelanggaran itu.’ Memang badan saya lebam teruk, namun tiada kecederaan serius malah tak satu pun tulang patah,” katanya.
Sarah mengaku baru membuat temujanji dengan doktor untuk melakukan pembedahan mengecilkan payudaranya beberapa hari sebelum itu, namun kini mengubah fikirannya.
“Memang saya mengalami sakit belakang teruk dan leher kerana dada terlalu besar. Namun, jika saya sempat melakukan pembedahan itu, pasti saya sudah mati,” katanya.
Menurutnya, pemandu yang melanggarnya tidak didakwa selepas kemalangan itu diklasifikasikan ‘aneh’ tetapi Sarah menerima pampasan £5,000 (RM30,000) daripada syarikat insurans.