Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sedia memberikan kuasa kepada universiti supaya ia dapat membuat keputusan sendiri sebagai usaha untuk memantapkan institusi pendidikan tinggi itu.
Beliau berkata dengan memberikan kuasa itu sesebuah universiti boleh membuat keputusan tanpa merujuk kepada ‘agensi pusat’ sekali gus membantu melahirkan lebih banyak modal insan untuk memacu daya saing negara.
“Inilah hasrat kerajaan dan pada masa sama saya juga berharap untuk terus mewujudkan hubungan baik dengan para mahasiswa,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama penuntut universiti awam, institusi pengajian tinggi swasta dan institut pendidikan guru di sini malam ini.
Dalam ucapannya selama kira-kira 20 minit itu, perdana menteri turut mengingatkan para mahasiswa agar tidak mudah percaya terhadap berita-berita yang disiarkan di media sosial.
“Harap adik-adik pelajar semua yakinlah dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan. Jangan percaya atau telan bulat-bulat apa yang dibaca di media sosial, walaupun popular tidak semestinya ketepatan berita itu terjamin,” katanya.
Najib menegaskan bukan semua laporan dalam media sosial itu sahih kerana ada antaranya hanya menceritakan separuh daripada kebenaran malah tidak kurang juga yang hanya berbentuk pendapat penulis semata-mata.
“Harap para pelajar semua dapat lakukan saringan dan menilai apa yang dilaporkan dengan pemikiran rasional,” katanya.
Perdana Menteri juga mengajak umat Islam di negara ini supaya menghargai nilai kemakmuran serta keamanan yang dinikmati sehingga membolehkan ibadah puasa dijalankan dalam keadaan tenang serta selesa.
Katanya “anugerah” itu adalah hasil daripada dasar-dasar kerajaan termasuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sejak merdeka selain menjalankan pemerintahan berlandaskan prinsip dan lunas-lunas Islam.
“Kalau lihat suasana di dunia hari ini sebahagian besar dunia Islam dalam keadaan bergolak dan peperangan sengit sehingga dalam bulan Ramadan ada umat Islam yang terkorban,” katanya.