BELURAN: Mayat seorang lelaki tanpa tangan dan kaki dipercayai dibaham buaya dijumpai terapung di Sungai Paitan di Kampung Kabuluh di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Beluran, Superitendan Sivanathan Velautham, berkata mangsa dikenali sebagai Ramsah Alau, 57, dan mayatnya ditemui pada kira-kira 7.40 pagi oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pitas untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, anak perempuan mangsa melaporkan bapanya keluar rumah pada jam 9 pagi semalam untuk menebas rumput di kawasan kebun berhampiran rumah lama mereka di kampung itu.
Bagaimanapun, katanya sehingga jam 3 petang, mangsa belum balik ke rumah dan anak perempuan itu meminta bantuan penduduk kampung mencari bapanya.
Katanya, penduduk kampung kemudian menjumpai selipar berwarna biru dan topi putih milik Ramsah di tebing sungai berhampiran kebunnya.
Sivanathan berkata, pada jam 5.35 petang, pihaknya dimaklumkan oleh dua penduduk kampung bahawa mereka ada ternampak seekor buaya yang timbul dan mengigit sesuatu objek seperti manusia berpakaian putih kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian.
Beliau berkata, susulan itu operasi mencari dilancarkan hari ini membabitkan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
Katanya, polis menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengambil langkah keselamatan berikutan insiden serangan buaya itu.