Kes bunuh janda anak empat – Tertuduh waras, layak dibicarakan #pakdin.my

ABDUL RAOF MOHD DIMYATI

HULU SELANGOR 15 Julai – Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini dimaklumkan bahawa laporan psikiatri terhadap seorang guru agama yang didakwa membunuh kekasihnya, seorang janda anak empat pada Mei lalu menunjukkan tertuduh waras dan layak dibicarakan.

Hakim Zulhelmy Hasan yang mendengar prosiding itu memaklumkan perkara itu selepas meneliti laporan psikiatri yang dikeluarkan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak yang mengesahkan tertuduh, Abdul Ra’of Mohd. Dimyati, 26, adalah waras dan layak untuk membela diri atas pertuduhan membunuh itu.

Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan memakai baju T hijau lengan panjang dan berseluar jean biru kelihatan tenang sepanjang prosiding. Bapa dan ahli keluarganya yang lain turut kelihatan di galeri awam.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes selepas peguam Datuk Hanif Hashim yang mewakili tertuduh tiada sebarang bantahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zaza Dilla Abdul Razak.

Difahamkan, tertuduh telah menjalani ujian tahap kesihatan mental di hospital tersebut selama dua bulan bermula 20 Mei lalu.

Mengikut pertuduhan yang pertama kali disebut pada 19 Mei lalu, Abdul Ra’of didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap peniaga atas talian, Nor Salina Nazir, 34, di kawasan lapang tepi Sekolah Rendah Agama Kuala Kubu Bharu, di sini pada pukul 8.30 malam, 5 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang bekerja sebagai guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu mengajar pelbagai subjek agama yang mengguna pakai kurikulum dan buku teks KAFA seperti al-Quran, akidah, ibadah, adab (Akhlak Islamiah), sirah, bahasa Arab dan Jawi serta khat di sekolah tersebut.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, mayat Nor Salina ditemui bapanya dalam keadaan terlentang di dalam kereta Proton Wira miliknya dengan tujuh kesan tikaman pada anggota badan.

Terdahulu, mangsa dikatakan keluar dengan kekasihnya pada malam kejadian untuk menghantar barang tempahan kepada pelanggan namun tidak pulang ke rumah selepas itu.

Difahamkan, kejadian itu berpunca apabila wanita tersebut mendesak kekasihnya itu untuk berkahwin dengannya. Susulan kejadian itu, suspek ditahan sepasukan polis pada 6 Mei lalu bagi membantu siasatan.

Berkaitan