Eksport alat ganti getah ke negara-negara yang mengalami kejatuhan mata wang menyusut antara 15 hingga 20 peratus ekoran langkah berhati-hati yang diambil bagi mengurangkan kos import yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Consortium of Rubber Products Sdn. Bhd. (Malcorp), Serajudin Ismail berkata, negara pengimport seperti Australia, Amerika Latin, Brazil, india dan negara-negara Afrika lebih bersikap waspada dengan tidak menyimpan stok yang banyak sebaliknya membeli mengikut kemampuan kewangan mereka.
“Bagaimanapun, kelemahan ringgit yang berlaku sejak suku keempat 2014 memberi keuntungan lebih kepada pengeksport dan jualan mereka meningkat.
“Jadi, kita berharap mata wang di negara-negara pengimport yang mengalami kejatuhan mata wang ini akan kembali pulih kerana ia sudah berlarutan sejak dua tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Malcorp, yang ditubuhkan pada 2011 di bawah Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia mengeksport alat ganti dan barangan hos yang diperbuat daripada getah ke 40 buah negara di dunia.
Kebanyakan produknya digunakan untuk kenderaan Nissan, Toyota dan Honda dengan menggunakan jenama Malcorp manakala negara pengimport utama ialah Amerika Syarikat, benua Amerika Latin dan negara-negara Asia Barat.
Sebanyak 13 pengilang di bawah Malcorp mengeluarkan sehingga 600 jenis alat ganti kenderaan yang laris dan 20 jenis bagi barangan hos.
Serajudin berkata, Malcorp hanya mengeksport alat ganti dan hos yang dikeluarkan pengilang Malaysia sahaja bagi memastikan produk tersebut adalah berkualiti dan memenuhi keperluan piawaian antarabangsa.
“Untuk tahun ini, kita sasarkan nilai eksport meningkat kepada RM20 juta berbanding RM13 juta pada 2014. Walaupun, ekonomi semasa sangat mencabar tetapi kami tetap optimis dapat mencapainya,” katanya.
Menurut Serajudin, eksport barangan getah automotif sangat meluas terutama potensinya dalam pasaran kenderaan buatan AS.
“Setakat ini, kita hanya mengeksport untuk kenderaan Jepun dan Korea. Pengilang boleh membuat kajian mengenai pasaran di AS kerana ia mempunyai banyak peluang dan produk kita juga lebih baik jika dibandingkan dengan Thailand,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Malcorp dalam perancangan untuk membuka pejabat jualan di Johanessburg, Afrika Selatan dan Miami, Amerika Syarikat yang dijangka pada pertengahan tahun depan bagi memperluaskan pasaran di negara-negara tersebut.
Menyentuh tentang persaingan dari China, beliau berkata, ia tidak menggugat pasaran getah Malaysia kerana walaupun harga getah murah 15 peratus, tetapi kos pembuatan di sana telah melonjak dan ini memberi kelebihan kepada negara.
Dalam pada itu, Serajudin berharap pembinaan kilang sintetik di Pengerang, Johor di bawah Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) tidak ditangguhkan kerana ia penting kepada Malaysia.
“Sebenarnya, kita menghadapi masalah bekalan getah yang tidak mencukupi dan perlu beli dari Thailand dan Indonesia. Jadi, saya harap kilang getah sintetik ini dapat dibuka kerana getah mempunyai kegunaannya sampai bila-bila,” katanya.