Sekadar mendengar suara penutur Bahasa Melayu dengan fasih tanpa melihat wajahnya, pasti ramai menyangka ia seorang Melayu.
Namun, sangkaan itu meleset apabila pendengar menatap wajah di penutur.
Beliau sebenarnya seorang “Mat Salleh”.
Joshua Parfitt (ulang: Joshua Parfitt), rakyat Britain ini berjaya mencuri tumpuan hadirin pada majlis resepsi peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) di sini apabila berkata rakyat Malaysia harus berbangga kerana Bahasa Melayu mempunyai tempat tersendiri di peringkat antarabangsa.
“Bahasa Melayu semakin mekar di celah-celah Bahasa Inggeris, tidak seperti sesetengah bahasa lain yang telah hilang,” kata pelajar dari University of London itu.
Majlis yang berlangsung di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri itu dihadiri isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.
Mengenai PABM, Parfitt memuji usaha Kementerian Pendidikan Tinggi itu sebagai langkah terbaik untuk memartabatkan Bahasa Melayu yang cukup indah di persada antarabangsa.
“Disebabkan itu, peluang untuk pelajar menyertai pidato ini semakin sukar kerana ramai yang mahu menyertainya dan kami terpaksa bersaing dengan pelajar dari negara kami (negara asal setiap peserta),” katanya sambil berharap PABM tetap diteruskan.
Pertandingan yang memasuki tahun kesembilan itu disertai 71 pelajar yang mengambil jurusan pengajian bahasa Melayu di institusi-institusi pengajian tinggi di seluruh dunia.
Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Kategori Alam Melayu; Kategori Antarabangsa dan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia.
Ia akan berlangsung selama lima hari mulai Selasa dengan peringkat akhir bakal diadakan pada 8 Ogos di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.
Bermula tahun ini, peserta hanya diberikan tema pidato dan bukan lagi tajuk seperti penganjuran sebelum ini bagi menggalakkan kepelbagaian tajuk berasaskan tema.