JAYAPURA (Indonesia): Seorang terbunuh manakala lima lagi cedera apabila sebuah pesawat penumpang kecil terhempas di wilayah timur Indonesia ketika cuba mendarat pagi tadi, kata pegawai penyelamat.
Kapal terbang jenis Cessna yang dikendalikan oleh syarikat Indonesia, Komala Air terhempas di landasan lapangan terbang Ninia di Wilayah Yahukimo, Papua, kira-kira jam 7.45 pagi waktu tempatan, kata pegawai tempatan, Ludiatno.
“Terdapat enam orang di atas pesawat itu apabila ia terhempas. Seorang juruteknik terbunuh manakala juruterbang dan empat penumpang parah termasuk patah tulang.
“Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital,” katanya.
Ludiatno berkata, cuaca buruk dipercayai punca nahas. Seorang wartawan yang berada di Papua berkata, terdapat angin kencang apabila nahas itu berlaku.