Bursa Malaysia ditutup lebih tinggi hari ini susulan kegiatan pembelian saham berharga rendah dalam Genting serta saham wajaran tinggi berasaskan perdagangan dan perkhidmatan, kata peniaga.
Pada 5 petang ini, petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.06 mata kepada 1,579.60, selepas berlegar antara 1,562.88 dan 1,584.05 sepanjang hari dagangan.
Bagi kaunter berkaitan indeks, Genting Malaysia menokok sembilan sen kepada RM3.99, Genting Bhd naik 12 sen kepada RM7.22, Maxis untung enam sen kepada RM6.45 manakala Telekom menambah 11 sen kepada RM6.29.
Seorang peniaga berkata, bursa terus berada lingkungan tinggi sepanjang sesi dagangan biarpun berdepan sentimen pelabur yang berhati-hati terhadap kemungkinan pemulihan itu hanyalah bersifat sementara.
Sementara itu, sebahagian besar ekuiti Asia ternyata lebih rendah apabila pelabur memilih untuk bersikap berwaspada terhadap kestabilan ekonomi China berikutan kejatuhan mendadak saham-sahamnya, hari ini.
Bagaimanapun, pasaran China itu sempat mencatat pemulihan pada lewat petang, sekali gus memaparkan usaha kerajaannya untuk terus mengukuhkan pasaran.
Di bursa serantau, Nikkei 225 Jepun susut 1.61 peratus kepada 20,222.63, Hang Seng jatuh 1.31 peratus kepada 23,167.82, Indeks Kospi rugi 0.86 peratus kepada 1,939.38 manakala Indeks Straits Times turun 0.22 peratus kepada 3,043.06.
Indeks Komposit Shanghai bagaimanapun meningkat 1.24 peratus kepada 3,794.55.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 556 berbanding 260, 298 kaunter tidak berubah, 687 kaunter tidak diniagakan manakala 19 lain digantung.
Jumlah dagangan jatuh kepada 1.89 bilion unit bernilai RM1.78 bilion daripada 2.25 bilion unit bernilai RM2.11 bilion, pada Selasa.
Di papan skor, Indeks FBM Emas meningkat sebanyak 50.62 mata kepada 10,854.38, Indeks FBMT100 menokok 41.03 mata kepada 10,584.71 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 50.10 mata kepada 11,241.66. FBM 70 melonjak 126.68 mata kepada 11,607.49 manakala FBM Ace naik 92.90 mata kepada 5,268.20.
Mengikut sektor, Indeks Kewangan menokok 38.73 mata kepada 14,249.60 dan Indeks Perladangan menambah 16.18 mata kepada 6,864.70. Indeks Perusahaan pula susut 1.61 mata kepada 3,066.24.
Dalam kalangan saham aktif, The Media Shoppe dan iDimension masing-masing menokok satu sen kepada 14.5 sen dan 14 sen, Tiger Synergy untung setengah sen kepada 9.5 sen dan IFCA MSC naik dua sen kepada 69.5 sen. AirAsia jatuh dua sen kepada RM1.07.
Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing hilang dua sen kepada RM17.94 dan RM10.44, Axiata susut satu sen kepada RM5.78 dan Sime Darby turun tiga sen kepada RM7.93. Maybank untung tiga sen kepada RM8.46.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama susut kepada 951.15 juta unit bernilai RM1.57 bilion daripada 1.12 juta unit bernilai RM1.84 bilion, pada Selasa.
Di Pasaran Ace, perolehannya meningkat kepada 350.49 juta saham bernilai RM63.42 juta daripada 278 juta sahan bernilai RM58.53 juta, sebelum ini. Jumlah waran berkurangan kepada 591.39 juta unit bernilai RM151.70 juta daripada 856.37 juta unit bernilai RM213.51 juta, semalam.
Barangan pengguna menyumbang 70.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (198.63 juta), pembinaan (38 juta), perdagangan dan perkhidmatan (430.09 juta), teknologi (44.48 juta), infrastruktur (11.48 juta), SPAC (15.96 juta), kewangan (46.23 juta), hotel (369,800), hartanah (71.12 juta), perladangan (11.55 juta), perlombongan (32,100), REIT (12.46 juta) dan dana tertutup (14,000).