Duta Besar China, Dr Huang Huikang dipanggil ke Wisma Putra bertujuan meminta beliau mengesahkan sama ada kenyataannya yang dikeluarkan semasa lawatan ke Jalan Petaling baru-baru ini telah disalah tafsir, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Anifah yang kini berada di New York dalam satu kenyataan Isnin berkata, perkara memanggil duta merupakan amalan biasa.
“Ini selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961,” katanya.
“Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa lalu,” kata beliau.
Anifah menjelaskan, sebagai sebuah negara berdaulat Malaysia juga perlu menyampaikan pendiriannya kepada China dengan jelas.
“Dalam perkara ini setelah berbincang dengan Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta China untuk hadir ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan,” katanya.
Tambahnya, beliau berpandangan isu tersebut tidak perlu dibawa ke peringkat menteri kerana sebagai amalan biasa ia ditangani di peringkat pegawai kanan Wisma Putra sahaja.
Pada masa yang sama, Anifah melahirkan rasa dukacita kerana beberapa menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada beliau terlebih dahulu.
“Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya memanggil Duta China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau,” katanya.
Jelas Anifah, perkara tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan menteri-menteri lain.
“Sebaliknya, campur tangan mereka (menteri-menteri lain) telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai.
“Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang,” tambah beliau.
Hari ini, Duta China itu mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di sini.
KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI LUAR NEGERI MENGENAI PEMANGILAN DUTA BESAR CHINA KE WISMA PUTRA
Saya ingin menjelaskan bahawa perkara memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra adalah merupakan satu amalan biasa. Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat oleh beliau semasa lawatan beliau ke Petaling Street tempoh hari. Wisma Putra cuma ingin meminta beliau untuk mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya.
3. Memanggil Duta Besar asing ke Wisma Putra ini bukanlah kali pertama yang telah kita lakukan. Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa yang lalu. Amalan ini adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961.
3. Sebagai sebuah negara berdaulat, kita juga perlu menyampaikan pendirian kita kepada China dengan jelas. Dalam perkara ini, setelah berbincang dengan YAB Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta Desar China untuk hadir di Wisma Putra bagi memberi penjelasan..
4. Saya juga berpandangan bahawa isu ini tidak perlu dibawa ke peringkat Menteri kerana sebagai amalan biasa ianya ditangani di peringkat pegawai kanan di Wisma Putra sahaja.
5. Saya berasa amat dukacita kerana beberapa Menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu. Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau. Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan Menteri-Menteri lain. Sebaliknya campur tangan mereka telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang di masa akan datang.
DATO’ SRI ANIFAH AMAN
28 September 2015