MALAYSIA komited menyokong sepenuhnya agenda Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) Pasca 2015 yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mentransformasikan dunia menjelang tahun 2030, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata sokongan Malaysia terhadap pelaksanaan Agenda Untuk Pembangunan Lestari menjelang 2030 itu adalah demi masa depan lebih baik untuk semua.
“Ia juga menjadi tanggungjawab semua untuk memperjuangkannya, dan saya menggesa semua yang hadir untuk sama-sama berganding bahu mencapai niat murni ini,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak PBB untuk Menerima Pakai Agenda Pembangunan Pasca-2015 mengenai Pembangunan Mapan, di ibu pejabat PBB sebentar tadi.
Sidang Kemuncak kali ini antara lain untuk mencapai kesepakatan negara anggota PBB bagi melaksanakan SDG, menggantikan Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang dirangka PBB untuk tempoh 2000-2015.
Najib yang juga Pengerusi ASEAN berkata, kini kira-kira 800 juta manusia masih hidup dalam kemiskinan dan kebuluran tetapi dunia masih jauh daripada mencapai matlamat untuk menghapus gejala itu.
“Kita mungkin mencapai sasaran mengurangkan kadar kemiskinan tegar, tetapi belum berjaya menghapus kemiskinan dan kebuluran.
“Ini mesti kekal sebagai teras dalam agenda pembangunan pasca 2015 dan adalah imperatif, tiada siapa akan ketinggalan,” katanya.