Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dan Salam 1 Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Seperti kita sedia maklum, kita sedang mengalami beberapa cabaran ekonomi yang sebahagian besarnya disebabkan faktor luaran.
Namun, asas ekonomi masih mampan dan kukuh. Secara ringkasnya, tunjang pada ekonomi yang mampan sebenarnya adalah produktiviti. Produktiviti yang lebih tinggi mendatangkan pendapatan yang lebih lumayan.
Sebagai contoh, apabila kita memberi sumbangan besar untuk syarikat kita, kita akan dinaikkan pangkat sekaligus meningkatkan pendapatan kita.
Samalah seperti negara juga, sekiranya para pekerja sesebuah negara itu lebih produktif, maka ekonomi negara mampu menjana pendapatan yang lebih untuk semua.
Inilah yang dimaksudkan dengan negara berpendapatan tinggi.
Sebab itulah, kerajaan telah memberikan peruntukan yang besar daripada bajet tahunan untuk sektor pendidikan dan latihan.
Alhamdulillah, taraf pendidikan rakyat Malaysia kian meningkat dan produktiviti kita pada tahap ini masih mampu mengekalkan kemampanan ekonomi negara.
Namun, masih banyak lagi yang kita perlu lakukan bagi mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. Antaranya, kita perlu memupuk sifat gigih berusaha dan sentiasa berfikiran inovatif.
Inilah yang akan membolehkan kita menjadi lebih produktif dan mendatangkan pulangan yang lebih lumayan buat diri kita sendiri sekaligus menjana pendapatan tinggi kepada ekonomi negara secara keseluruhannya.
Sekian sahaja dari saya.
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.