Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk menyediakan perubatan dan rawatan berkualiti pada kadar yang rendah untuk rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar setiap tahun sebagai bantuan perubatan dan kos pembelian mesin hemodialisis di hospital-hospital kerajaan.
“Dalam bajet tahunan yang saya bentangkan beberapa tahun ini, kerajaan memastikan bahawa kebajikan pesakit terjamin terutamanya mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kerosakan buah pinggang,” katanya dalam catatan terbaru di laman Facebooknya hari ini.
Dalam tinjauan pelaksanaan bajet negara di Hospital Shah Alam hari ini, Najib mengambil kesempatan untuk melawat unit hemodialisis di hospital itu yang dapat memanfaatkan 78 pesakit buah pinggang setiap minggu dengan 20 buah mesin hemodialisis yang baharu.
Hospital itu akan memulakan perkhidmatan pesakit mulai Januari 2016 dan dapat mengurangkan kebergantungan serta kesesakan di hospital-hospital lain seperti Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang.
Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata pesakit yang memerlukan rawatan hemodialisis kini hanya perlu membayar RM13 untuk setiap sesi di mana-mana hospital kerajaan berbanding caj perkhidmatan swasta pula adalah antara RM200 hingga RM250.
Beliau berkata hospital kerajaan tidak mengenakan caj konsultasi kepakaran dan menetapkan kadar yang rendah untuk perubatan dan perkhidmatan lain berbanding caj perkhidmatan swasta.
“Kerajaan tetap prihatin dan membantu rakyat yang memerlukan,” katanya di dalan entri itu yang turut memaparkan beberapa keping gambar ketika mendengar taklimat oleh pengarah hospital, Dr Hasni Hanapi dan meluangkan masa berbual mesra bersama doktor-doktor pakar di hospital itu.
“Bagi sesiapa yang memerlukan perkhidmatan wad seperti wanita bersalin, caj katil hanya antara RM3 hingga RM80 satu malam di hospital-hospital kerajaan seperti Hospital Shah Alam.
“Jumlah kos hanya antara RM13 hingga RM390 di hospital kerajaan. Bandingkan dengan kos di hospital swasta sekurang-kurangnya 11 kali ganda,” katanya yang juga memaparkan slaid gambar mengenai kos itu di entri berkenaan.
Dalam tinjauan itu, Najib berkata Ketua Jabatan Farmasi Pakar Hospital Shah Alam juga menerangkan perbezaan kos ubat-ubatan antara hospital swasta dan kerajaan dan perubatan di hospital kerajaan adalah percuma.
Di samping itu, katanya beliau juga mendapat penerangan kesan pengenaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar ke atas semua jenis Ubat Terkawal di bawah senarai Racun Kumpulan A, B, C dan D yang diumumkan dalam Bajet baru-baru ini.
“Ini melibatkan peningkatan dua kali ganda, dari 4,215 kepada 8,630 jenama ubat,” kata Perdana Menteri yang turut meminta doktor pakar supaya meneruskan usaha murni dalam memberi rawatan kepada mereka yang memerlukan.