Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM3.89 bilion bagi suku ketiga tahun ini berakhir 30 September 2015 lalu, susut berbanding RM22.78 bilion yang direkodkan pada tempoh sama tahun lepas.
Keputusan itu menyebabkan PBT syarikat minyak negara itu hanya berjumlah RM35.46 bilion setakat sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding RM78.05 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama pada 2014.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan
Zulkiflee Wan Ariffin berkata, syarikat telah menjangka kemerosotan keuntungan itu berdasarkan paras harga minyak yang rendah sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, Petronas masih tidak perlu melaksanakan langkah pembuangan pekerja ekoran kemerosotan prestasi kewangan tersebut.
Wan Zulkiflee juga berkata, berdasarkan harga minyak dunia yang rendah sepanjang tahun ini, syarikatnya hanya akan membayar dividen kepada kerajaan sebanyak RM16 bilion untuk 2016, berbanding RM26 bilion yang dibayar tahun ini.