“Dakwaan-dakwaan salah laku termasuk pembayaran elaun yang tinggi kepada pihak pimpinan tertinggi YaPeim dan kewujudan nepotisme perlu diberikan perhatian serius oleh pihak pengurusan.
“Saya amat mengalu-alukan siasatan menyeluruh SPRM yang telah dan sedang berjalan agar dapat menjernihkan kembali reputasi YaPeim selaku institusi berlabel Islam yang berorientasikan kebajikan dan penjanaan ekonomi.”
Itu kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mahu semua pihak berlaku adil dalam menilai dakwaan terhadap isu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) dan memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.
“Justeru tidak perlulah melakukan pelbagai spekulasi dan andaian kerana bimbang kita terjebak dalam fitnah dan tohmahan yang bukan sahaja memudaratkan diri sendiri dengan dosa jariah berterusan tetapi juga menghancurkan institusi agama yang terbukti berjaya memperkenalkan skim Ar-Rahnu kepada dunia sejak 1993,” katanya.
YaPeim pada Khamis menyatakan kesediaan bekerjasama dengan mana-mana pihak berkuasa sekiranya ada salah laku berkenaan dengan pentadbiran, pengurusan dan operasinya.
Ia susulan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) milik pembangkang, Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (Now) mengenai pendapatan seorang pengurusan tertinggi yayasan itu sehingga RM1.8 juta setahun.
Menurut Asyraf Wajdi, tindakan serius perlu dan akan diambil jika wujud unsur-unsur penyelewengan ataupun pecah amanah.
“Sebaliknya jika ia melibatkan isu-isu kelemahan polisi, prosedur dan urus tadbir, maka penambahbaikan harus dilakukan dengan segera.
“Anologinya ialah jika atap yang bocor, maka yang perlu dibaiki ialah atapnya bukan rumah yang harus diruntuhkan,” katanya.