Datuk Seri Nazri Aziz dan deligasinya lega apabila keputusan untuk tidak keluar ke Paris pada hari terakhir di bandaraya itu ada hikmah di sebaliknya.
Menginap di hotel yang terletak hanya 500 meter dari Bataclan di mana berlakunya serangan pengganas ketika berlangsungnya konsert itu, Nazri berkata, mereka baru sahaja selesai menghadiri persidangan Unesco di situ.
“Saya menginap di hotel di Bastille, kira-kira 500 meter dari Bataclan. Saya agak penat selepas selesai menghadiri persidangan pada pukul 6 petang.
“Ia malam terakhir berada di sini dan saya memang mahu ke luar ke Paris tetapi kerana persidangan itu tamat pada pukul 6 petang, kami memutuskan untuk berada di hotel sahaja dan hanya menempah makanan dari luar.
“Jadi, kami sememangnya bernasib baik kerana mungkin juga kami menjadi mangsa serangan itu,” kata Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan kepada The Star Online.
Beliau berkata, dia bagaimanapun tidak mendengar mengenai kejadian itu sehingga menonton televisyen pada pagi seterusnya.
“Kami hanya tahu mengenainya apabila menonton TV. Ketika itu, kami dapat lihat pemeriksaan keselamatan di hotel lebih ketat berbanding biasa,” katanya.
Terdahulu, militan dan pengebom berani mati menyerang restoran, dewan konsert dan stadium berdekatan Paris dan mengorbankan sekurang-kurangnya 128 orang.
Kumpulan pengganas Negara Islam (IS) mendakwa bertanggungjawab melancarkan serangan itu.