Tidak ada penyelewengan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPeim) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom seperti didakwa Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW).
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Asyraf Wajdi Dasuki di Dewan Rakyat, ketika menggulung perbahasan Bajet 2016 peringkat jawatankuasa JPM, malam tadi.
Katanya, apa yang dibangkitkan sesetengah pihak termasuk Ahli Parlimen PAS Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Amanah Sepang Hanipa Maidin hanyalah andaian atau prasangka yang boleh mendatangkan dosa.
Menurut beliau, YaPeim tidak berkait dengan kerajaan sebaliknya organisasi beas yang terikat dengan surat ikatan amanah.
“YaPeim tidak terikat aturcaya kerajaan sebaliknya oleh pemegang amanah,” katanya sambil menegaskan pemberian elaun tinggi kepada pengarahnya adalah bidang kuasa pengurusan Yapeim.
Katanya, setakat ini tidak ada penyelewengan seperti dilaporkan sebaliknya jumlah perbelanjaan program-program YaPeim adalah hak muthlak pengurusan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan ahli-ahli parlimen pembangkang jangan terpengaruh viral fitnah mengenai perkara itu.
Bagaimanapun, beberapa ahli parlimen pembangkang mencetuskan kekecohan kerana tidak berpuashati dengan jawapan Asyraf.
Namun, timbalan menteri itu menegaskan, YaPeim adalah antara organisasi pelaksaan pembangunan Islam paling berjaya terutama dalam pelopor Ar Rahnu.
Beliau meminta orang ramai melihat kejayaan itu yang turut dijadikan contoh oleh negara lslam luar.