Masyarakat perlu bijak menapis maklumat di media sosial dengan merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai sebelum menerima atau dipanjangkan kepada pihak lain, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata perkembangan teknologi dan komunikasi maklumat menyebabkan masyarakat terdedah kepada pelbagai maklumat yang disalur tanpa tapisan serta tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Sehubungan itu, katanya, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menyebarkan maklumat tidak betul menerusi media sosial.
“Masyarakat perlu bijak melakukan tapisan antaranya merujuk kepada sumber yang boleh dipercayai sebelum mempercayainya atau membuat sebarang rumusan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Gelanggang Futsal 1Malaysia Kampung Buis di sini, Selasa.
Beliau senada dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang meminta pembaca lebih berhati-hati serta bijak memilih setiap maklumat di media sosial.
Dalam catatan di blog beliau, sskeruak.blogspot.com pada Ahad lepas, Salleh berkata pembaca juga harus melakukan ‘tapisan sendiri’.
Menurutnya pembaca juga kena lebih berhati-hati, jangan sekadar melihat kepada tajuk atau ‘news headline’ saja kerana isi cerita kadangkala tidak sama dengan tajuknya.
Dalam pada itu, Kiandee yang juga anggota Parlimen Beluran berkata sudah menjadi trend masyarakat masa kini menjadikan bahan berita tidak sahih di laman sosial atau aplikasi mudah dalam telefon bimbit sebagai pilihan bacaan umum.
Katanya apa yang merisaukan, maklumat tidak betul yang disebarkan itu akan menjejaskan perpaduan serta keharmonian rakyat termasuk keselamatan dan ketenteraman awam.
“Lebih membimbangkan anak muda juga terdedah kepada maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan minda generasi akan datang,” katanya.
Kiandee berkata masyarakat memainkan peranan penting membuat penilaian bijak jika ada maklumat disebarkan dari sumber tidak sahih yang menyentuh polisi atau dasar kerajaan.