Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berani dan terus berjuang menentang hentaman politik ketika beliau meningkat usia 63 tahun pada Sabtu.
Salleh berkata terdapat ramai rakyat Malaysia yang menyokong perdana menteri tetapi ingin berdiam diri kerana mereka merasakan tiada guna berhujah mengenai sesuatu yang tidak akan diselesaikan.
“Rakyat Malaysia ini mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan anda (Najib) dan akan terus berdiri di belakang anda. Percaya dan yakinlah anda tidak keseorangan. Selamat hari lahir Dato’ Sri, kekal berani dan terus berjuang kerana kami bersama anda,” katanya dalam blognya sskeruak.blogspot.my.
Beliau berkata tiada sesiapa pun boleh menafikan bahawa ia merupakan 40 tahun karier politik yang mencabar buat Najib, terutamanya pada 10 tahun lalu sejak 2006 apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan beliau sudah cukup rehat dengan persaraannya dan kembali dalam arena politik Malaysia.
Salleh berkata mana-mana orang pastinya akan mengalah sekarang daripada bertahan selama 10 tahun dihentam berterusan oleh Dr Mahathir.
“Pada mulanya Dr Mahathir mendesak Najib untuk menggulingkan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, apabila Najib tidak bersetuju, malahan menyatakan secara terbuka sokongan terhadap Abdullah, Mahathir menyerang beliau.
“Selepas Najib mengambil alih jawatan perdana menteri tiga tahun kemudian, Dr Mahathir terus menyerang beliau dengan pelbagai isu dan terbaharu, sudah tentu mengenai 1MDB,” katanya.
Salleh berkata Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam tetapi mungkin yang pertama diganggu oleh bekas perdana menteri.
“Tidak ada tempat di dunia ini terjadi apabila bekas perdana menteri tidak menghormati dan menghina perdana menteri sedia ada.
“Dan ini bukan sesuatu yang baharu tetapi sesuatu yang Dr Mahathir telah kekalkan sejak 10 tahun lepas terhadap dua perdana menteri,” katanya.