RANAU: Gempa bumi lemah berukuran 4.0 pada skala Richter melanda Ranau, dekat sini, pada 9.39 pagi Jumaat, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.
Menurut kenyataan jabatan itu, pusat gempa itu terletak di 16km barat dari Ranau dan gegaran dirasai di kawasan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau Jimmy Lagung berkata setakat ini pihaknya belum menerima apa-apa laporan berhubung kerosakan harta benda berikutan gempa bumi itu.
“Walaupun tidak menerima sebarang laporan kita sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa. Sejurus menerima apa-apa laporan kita akan terus menghantar anggota ke lokasi untuk membuat tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Jimmy berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini, terutamanya gempa bumi.
Orang ramai boleh menghubungi balai bomba Ranau di talian 088-878779 jika berlaku kecemasan, katanya.