KALUMPANG – Bayi berusia empat bulan yang menderita sindrom patau dan dan hydrocephalus (lebihan cecair di kepala) bakal dibedah hari ini walaupun doktor menjangkakan peratusan untuk berjaya tipis.
Ibunya, Aslina Sani, 36 berkata, Nur Jannah perlu dibedah segera bagi mengeluarkan lebihan cecair di bahagian kepalanya walaupun berdepan risiko tinggi.
“Kos pembedahan buat masa ini RM4,000 dan Alhamdulillah ramai yang sudi beri sumbangan kepada Jannah.
“RM4,000 itu akan digunakan untuk beli satu alat khas yang dipasang di kepala Jannah untuk buang lebihan cecair.
“Tapi alat itu senang dijangkiti kuman jadi pembedahan perlu dilakukan lagi jika berlaku jangkitan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.
Aslina berkata, sebagai ibu dia pasrah dan reda jika nyawa Jannah diambil dan menganggap itu sudah ketentuan yang Esa.
“Doktor sendiri sahkan pembedahan ni risikonya 50:50 saja. Pembedahan pun susah dilakukan sebab struktur mulut Jannah yang tidak sempurna dan pakar mengatakan pembedahan ni memang berisiko tinggi.
“Saya cuba jadi ibu terbaik tetapi yakin perancangan ALLAH itu paling sempurna. Saya reda walau tak sanggup.
“Sejak Jannah hadir dalam hidup kami sekeluarga, saya belajar dan faham apa itu qada dan qadar walaupun masa Jannah lahir, saya ambil masa nak terima.
“Tapi saya yakin semangat juang dia kuat. Kita sama-samalah doa yang terbaik buat Jannah,” katanya.
Menurutnya, terbit rasa kasihan dan mahu batalkan pembedahan dibuat tetapi suaminya membantah.
“Suami cakap kenapa nak putus asa sedangkan kita dah berjuang sehabis baik untuk Jannah, jadi saya nekad dan teruskan juga usaha untuk lihat Jannah terus bersama kami.
“Besar harapan saya melihat pembedahan nanti berjaya,” katanya.