Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih) mengumumkan ia mahu mengadakan demonstrasi jalanan yang kelima atau Bersih 5 pada 19 November ini dengan salah satu desakan ialah penyelesaian segera terhadap isu 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Meskipun fakta dan penyiasatan telah dijalankan serta dibentangkan di Parlimen mengenai 1MDB, namun ia tetap ditolak oleh pembangkang, yang sememangnya telah menetapkan di kerangka fikiran mereka bahawa 1MDB tetap bersalah.
Mereka tetap mahu menuduh berlakunya penyelewengan melibatkan wang rakyat padahal ia adalah salah dan hakikat sebenarnya jauh berbeza daripada tuduhan-tuduhan tersebut.
Keadaan ini sekaligus menimbulkan tanda tanya bagaimana Bersih 5 boleh dianggap sebagai neutral apabila pemimpinnya sendiri mempunyai konspirasi dengan pembangkang?.
Ia terbukti menerusi penyebaran gambar Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam media sosial di mana beliau berada di dalam satu perjumpaan bersama dengan pemimpin parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi), DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).
Gambar itu dirakamkan di dalam satu pertemuan yang turut dihadiri oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Kadir Jasin, Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub, Ambiga Sreenevasan yang juga bekas pengerusi Majlis Peguam dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Melalui penyebaran gambar berkenaan, boleh dikatakan bahawa Bersih 5 kini menjadi alat kepada Pribumi yang mempunyai matlamat utama iaitu menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Bersih 5 tidak pula dilakukan di Pulau Pinang mendesak Ketua Menteri, Lim Guan Eng meletak jawatan walaupun beliau sudah didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah melibatkan pembelian banglo di bawah nilai pasaran.
Untuk rekod kes berkenaan akan disebut di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 September ini.
Sebaliknya Maria Chin sanggup mengadakan acara konvoi di seluruh negara menjelang himpunan Bersih 5 bagi mendesak Perdana Menteri meletak jawatan tetapi berdiam diri terhadap Guan Eng.
Memang betullah Bersih 5 ini menjadi `anjing suruhan’ Pribumi, mereka menutup mata terhadap Guan Eng tetapi sibuk mahu menjatuhkan Perdana Menteri.
Dan selepas empat siri Bersih yang diadakan sebelum ini, yang jatuh tersembam adalah pembangkang sendiri. Mereka kalah Pilihan Raya Negeri Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Sungai Besar serta Kuala Kangsar sebaliknya kerajaan masih kukuh dan kehidupan harian rakyat masih berjalan seperti biasa.
Bukan itu sahaja, bajet 2017 juga akan dibentangkan pada Oktober ini.