Mungkin ramai yang sudah terlupa, pada peringkat awal serangan yang dirancang oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau pernah menyatakan “saya sedar saya keseorangan’. Kenyataan itu dibuat pada bulan April tahun 2015.
Mahathir ketika itu membuat kenyataan yang berbentuk menarik simpati masyarakat kononnya beliau keseorangan dalam berlawan dengan kemungkaran Najib terutamanya hal 1MDB.
Sebenarnya kenyataan itu adalah berbentuk `propaganda’ walaupun Mahathir bercerita berkenaan pakar propaganda Jerman, Joseph Goebbels.
Mahathir mahu menampakkan kononnya beliau sendirian, keseorangan dan lemah manakala Najib pula gagah dan kaya. Itulah gambaran yang cuba dibawa oleh Mahathir.
Bagi yang tidak ada pengetahuan belakang tabir atau kisah sulit antara Mahathir dan Najib, tentu sekali akan termakan dakyah ini. Malah ada antara orang popular yang jahil berkenaan politik Mahathir telah termakan dakyah ini, antaranya artis Siti Nurhaliza, di mana beliau membuat kenyataan yang dilaporkan oleh Malaysiakini pada 15 April lalu bahawa `Mahathir Tidak Keseorangan, Siti Nurhaliza ada’.
Dalam laporan itu, Siti Nurhaliza berkata hatinya tersentuh dengan kenyataan Mahathir itu tetapi tidak boleh disalahkan rakyat dalam isu ini.
Mereka tidak tahu bahawa Mahathir tidak pernah keseorangan, malah ketika menumbangkan Pak Lah pun jentera Mahathir seperti tangan sotong, dengan orang kayanya, dengan wartawannya, dengan bloggersnya dan kakitangan tinggi kerajaan yang sudah ‘pledge” bersamanya.
Mahathir sering menyindir Najib dengan menyatakan `dia kaya’ kerana menyedari si jahil yang menyokongnya akan membenci orang kaya tanpa sedikit pun menyedari Mahathir 100 kali ganda kaya daripada Najib dengan pegangan kewangan kroni dan proksinya.
Malah anak Mahathir sendiri pun lebih kaya daripada Najib walaupun tanpa jawatan politik.
Itu belum dikira pemegang dana Mahathir seperti billionaire yang disirami kekayaan ketika beliau berkuasa.
Walaupun bekas editor WSJ, Barry Wain menyatakan Mahathir menyimpan wang dengan memberi kekayaan kepada proksinya, namun jumlah sebenar masih belum dipastikan. Anggaran yang dibuat Wain adalah sekitar RM100 billion.
Menyentuh mengenai isu Mahathir sendirian ini, dalam entri terbarunya menerusi blog beliau, Mahathir bercerita berkenaan beberapa penulis yang dulu menjadi penyokongnya tetapi kini sudah tidak menyokongnya atas sebab “cash is king’.
Dalam tulisan propaganda itu, Mahathir beliau mengulas mengenai bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Beliau bercerita seolah-olah Gani sebenarnya dari kalangan beliau dan kononnya kini sudah dibeli oleh Najib.
Peliknya Mahathir tahu akan semua ini lebih dari orang lain. Adakah andaian sebelum ini bahawa Gani `orang’ Mahathir yang enggan terus buat kerja kotor lalu Mahathir memperlinya?. Ia sama dengan dua tan sri lain. Adakah mereka kini sudah `abandon’ Mahathir?.
Selain itu terdapat laporkan ada kroni dan proksinya udah mula jemu dan muak untuk terus bersamanya.
Malah penulis Raja Petra Kamaruddin turut melaporkan bahawa jutawan yang diberi kekayaan oleh Mahathir kini mahu memandang ke hadapan dan mereka tidak seharusnya `tersangkut’ dengan seseorang individu sahaja untuk survival perniagaan mereka pada hadapan.
Mereka sudah berfikir untuk `move forward’ melalui kerjasama dengan `Government of the Day’. Lalu seorang demi seorang mula meminggirkan Mahathir dan tidak menjawab panggilannya lagi.
Agaknya, ketika Mahathir menyatakan `Saya Sedar Saya Keseorangan’ ia hanya berbentuk propaganda untuk meraih simpati seperti lazim yang dilakukannya namun di sisi Allah pula, ia dianggap sebagai doa dan doa itu sudah dimakbulkan.
Seorang demi seorang penyokongnya sudah mula meninggalkan Mahathir dan enggan terus bersama dalam kerja songsangnya.