Mahasiswi Malaysia yang hilang di Rouen, Perancis, Nurshakinah Naim, 19, kini berada dalam keadaan selamat setelah pulang ke penginapannya di Parc De La Durdent, Mont Saint Aignan.
Ibunya, Nor Halizah Ahmad, 44, berkata, berita menggembirakan itu dimaklumkan Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan, Ruziah Shafei yang hadir menziarah keluarga itu kira-kira pukul 3 petang tadi.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kerana dia selamat. Namun setakat ini, kami masih belum berpeluang untuk bercakap kerana Nurshakinah dikatakan masih berada di balai polis untuk memberi keterangan.
“Walaupun sudah ditemukan, saya dan suami, Naim Awang, 46, akan tetap ke Perancis Sabtu ini. Di sana, kami akan dapatkan penjelasan mengenai apa yang berlaku dan membawanya pulang untuk memberi ruang dia berehat,” katanya.