BINTULU: Dua laporan polis dibuat semalam ke atas pemilik laman sosial Facebook, ‘Kapak Sarawak (Anthony Bakit)’ yang didakwa menghina penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Di Bintulu, Pengerusi Bintulu Bikers Community (BBC) Club, Ahmad Lato bersama beberapa ahli kelabnya tampil membuat laporan polis di Pusat Sehenti Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu untuk meminta tindakan diambil terhadap pemilik akaun tersebut.
Ahmad Lato memberitahu, laporan polis itu dibuat sebagai tanda protes dan tidak puas hati ahli-ahli kelab sekali gus kesal dengan catatan pemilik akaun laman sosial itu yang disifatkan menjatuhkan maruah penunggang motosikal berkuasa tinggi.
Tidak menafikan ada segelintir penunggang motosikal tidak berhemah di jalan raya, Ahmad Lato berkata tidak semua seperti mana yang dinyatakan dalam ‘posting’ FB tersebut.
Jelasnya, laporan tersebut bertujuan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap pemilik akaun berkenaan.
Sementara itu di Betong, ahli-ahli Betong Bikers Motor Club (BBMC) Betong turut membuat laporan sama terhadap terhadap pemilik akaun FB berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong.
Presiden BBMC Betong Abdul Rahim Jaini memberitahu, sebagai ahli pemilik motosikal berkuasa tinggi dalam kelab yang berdaftar, mereka berasa terpanggil untuk tampil membuat satu laporan polis atas kenyataan ‘biadap’ itu.
“Kami pemilik dan wujud dalam kelab yang berdaftar berasa tidak puas hati dan kurang senang dengan ayat-ayat penghinaan yang digunakan oleh beliau selain sumpahan yang ditujukan kepada pemilik motosikal berkuasa tinggi.
“Kenyataannya juga seolah-olah membangkit api kemarahan setiap pemilik motosikal yang dilabelkan beliau sebagai ‘hantu’ di jalan raya, menunggang tidak ikut peraturan dan banyak lagi kenyataan negatif merujuk kepada penunggang motosikal ini.
“Kami tidak mahu penghinaan ini menimbulkan situasi negatif menyebabkan masyarakat memandang serong terhadap kami sebagai kelab yang berdaftar dan sah di sisi undang-undang,” kata Abdul Rahim yang turut meminta pihak SKMM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun terbabit.