Semalam Donald Trump menguasai White House. Republikan kembali semula ke White House sejak 2009.
Undi “electoral vote” yang diperolehi Trump adalah 306. Ianya tertinggi buat Republikan sejak mendapat 426 undi semasa George H.W.Bush memasuki White House pada 1988.
Trump mencatatkan sejarah baru apabila seorang selebriti dan taikun hartanah terkenal Amerika Syarikat, Donald J Trump berjaya memenangi Pilihan Raya Presiden dengan meraih 306 undi dengan mengalahkan calon pilihan dari Demokrat, Hillary Clinton.
Bagi kebanyakan pemerhati politik antarabangsa, kemenangan yang diraih Trump ini bakal menyaksikan perubahan besar-besaran polisi Amerika terhadap dunia jika dibandingkan dengan dasar lebih lembut dan mesra Barrack Obama selama 8 tahun sebelum ini.
Ini kerana, sepanjang 20 bulan berkempen, Trump dilihat berpegang kepada prinsip yang lebih keras dan banyak menimbulkan provokasi terhadap golongan minoriti dan umat Islam.
Dalam kempennya, beliau pernah dilabelkan sebagai anti Islam apabila mahu menyekat sebarang kemasukan umat Islam di Amerika terutamanya mereka yang datang dari negara-negara yang dilabelkan Amerika sebagai pusat kelahiran pengganas.
Malah, polisi antarabangsa Trump yang enggan berkompromi terhadap isu melibatkan pengganas dan konflik di Syria telah menyebabkan wujud kebimbangan, Trump akan melancarkan lebih banyak serangan dahsyat demi memenuhi keinginannya untuk mewujudkan “The Greater America”.
Sebelum ini, menerusi pentadbiran Demokrat yang diketuai oleh Barrack Obama, Amerika dilihat lebih memberi penekanan terhadap menjalinkan hubungan diplomatik dan bersahabat dengan semua negara.
Atas sebab inilah, pihak minoriti dan umat Islam di Amerika mahukan, Hillary Clinton menguasai Rumah Putih kerana sepanjang kempennya, beliau lebih berminat untuk meneruskan dasar Obama yang lebih mesra dan lembut terhadap rakyat Amerika dan dunia luar.
Namun, sebaik sah Trump memenangi pemilihan kali ini, wujud kebimbangan bahawa Trump akan menggunakan segala kemampuan yang ada pada Amerika untuk menekan kebanyakan negara di dunia ini untuk tunduk kepada White House.
Apa yang membimbangkan adalah kuasa superpower dunia itu kini dilihat rapat dengan Russia.
Pada 17 Oktober 2016, Gorbachev, bekas Presiden Soviet Union pernah memberi amaran bahawa mengundi Clinton boleh membawa kepada Perang Dunia.
Hubungan Russia – Amerika tegang ketika zaman Obama kerana AS dituduh melakukan regime change di Libya dan Syria. Dua dua negara ini adalah proksi dagangan dan tentera bagi Russia.
Kalau dilihat rekod parti Republikan banyak peperangan berlaku ketika mereka menguasai White House. Perang Vietnam berlaku pada 1955 ketika Dwight Eisenhower menjadi Presiden.
Krisis Panama Canal berlaku pada zaman Ronald Reagan yang juga dari parti Republikan. Bush melancarkan Desert Storm menyerang Afghanistan pada 2001 dan Iraq pada 2003. Kesemua mereka ini dari parti yang sama dengan Trump.
Apakah Trump akan melakukan tindakan agresif seperti mereka?
Jika rakyat Amerika mempercayai Trump akan membawa kembali imej kehebatan Amerika pada mata dunia, pandangan masyarakat antarabangsa jelas berlainan dan kebimbangan mereka terhadap kemenangan Trump ini akan sentiasa menghantui kebanyakan negara di dunia untuk 4 tahun yang akan datang.
Mungkin Trump melihat dunia dari kaca mata perniagaan dan ekonomi dan tidak melihat dunia sebagai peperangan untuk mencipta peluang perniagaan.