Selepas keluar dari UMNO dan menubuhkan parti sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menjadikan pembangkang sebagai `saudara’ dan secara terbuka menyatakan mahu menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sejak itu, Mahathir sering muncul di pentas pembangkang walaupun suatu masa lalu, ketika beliau memerintah selama 22 tahun, Dr. Mahathir paling anti dengan mereka terutama DAP.
Malah tanpa malu, beliau yang dulu mengecam DAP sebagai parti cauvanis dan rasis, telah membuat penampilan pada konvensyen kebangsaan DAP yang diadakan baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Mahathir sanggup duduk sebaris dengan `dinasti Lim’ iaitu Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng, yang dihimpit dengan kes rasuah di mahkamah.
Meskipun penampilan Dr. Mahathir ke konvensyen itu disambut dengan tepukan gemuruh, namun itu hanyalah di permukaan sahaja.
Ini kerana, pada dasarnya, kehadiran Dr. Mahathir itu telah menyebabkan kekhuatiran di kalangan veteran DAP, kerana beliau umpama `racun’ yang bakal menghancurkan DAP.
Kebimbangan veteran DAP itu telah disuarakan di dalam portal pembangkang, Malaysiakini pada hari ini. Ia disuarakan oleh wakil rakyat DAP, Sim Tong Him dan Chan Foong Hin yang masing-masing berasal dari Melaka dan Sabah.
Mereka menyifatkan Dr. Mahathir tidak sepatutnya dijemput ke konvensyen terbabit kerana ia boleh membawa kesan kepada masyarakat Cina di Semenanjung dan masyarakat Kadazan.
“Saya tidak fikir ianya perlu, ini memberi tanggapan yang kedua-dua pihak menggunakan satu sama lain… Sebanyak manakah beliau (Mahathir) boleh membantu mengurangkan prejudis orang Melayu terhadap DAP?
“Saya rasa, memandangkan BERSATU bukan dalam Pakatan Harapan, maka ia menjadi ganjil jika kita membenarkan Mahathir dan (presiden BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri (Konvensyen DAP),” kata Tong Him yang juga ahli Parlimen Kota Melaka.
Ternyata, terdapat ramai ahli DAP yang masih prejudis dengan Dr. Mahathir kerana mereka tahu kerjasama dengan DAP itu penuh dengan hipokrasi disebabkan bekas Perdana Menteri itu mempunyai agenda peribadi.
Begitu juga dengan DAP yang mahu mempergunakan Dr. Mahathir untuk mencapai agenda mereka bagi menguasai tampuk pemerintahan. Ternyata kedua-duanya saling mempergunakan antara satu sama lain bagi tujuan tersendiri.