Ketua Pemuda UMNO Selangor yang baru, Ungku Salleh Ungku Jamal hari ini meminta seluruh barisan Pemuda UMNO negeri itu untuk berganding bahu dan mengembleng seluruh tenaga dalam usaha usaha memberi tekanan berterusan kepada kerajaan negeri pakatan pembangkang yang diterajui PKR.
Beliau berkata, pelantikan sebagai Ketua Pemuda Negeri merupakan satu tugas serta tanggungjawab yang berat dan sewajarnya memerlukan bantuan serta kerjasama daripada seluruh kepimpinan Pemuda negeri untuk bergerak dengan lebih agresif selepas ini.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin serta Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalannya, Datuk Seri Noh Omar atas kepercayaan yang diberi hari ini.
“Saya bertekad untuk melaksanakan amanah ini sebaik mungkin. Sekalung penghargaan kepada Suhaimi Ghazali yang telah memimpin dengan baik Pemuda UMNO Selangor sebelum ini. Kita akan teruskan dengan segala perancangan serta pelaksanaan yang telah dibuat oleh beliau sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima surat pelantikan daripada Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, di pejabatnya, di sini, hari ini. Turut hadir, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Tan Sri Megat Junid.
Ungku Salleh yang juga Ketua Pemuda Serdang seterusnya menambah, beliau akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat dalam usaha merencana segala strategi dan pelaksaanaan bagi memberi tekanan yang lebih kepada kerajaan negeri selepas ini.
“Sebenarnya Pemuda Selangor sebelum ini telah memulakan gerakan ini dan kita akan terus tingkatkan usaha untuk mendepani pakatan pembangkang yang kita lihat hari ini rata-rata sudah mula dicemuh oleh rakyat kerana rakyat sudah tahu dan sedar propadaganda serta tipu muslihat pakatan pembangkang.
“Pemuda sebagai sayap kanan dalam parti di peringkat negeri, akan terus mendesak kerajaan negeri untuk buat sesuatu yang dijanjikan semasa kemenangan mereka pada pilihan raya umum yang lalu. Kita lihat banyak isu-isu yang akan dibawa untuk menggoncang kerajaan negeri selepas ini,” katanya.