Pada bulan Ogos Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Tan Sri Abu Sahid Mohamed berkata beliau mahu memperoleh PLUS dengan membeli 51 peratus saham yang dipegang oleh UEM Group Bhd dan 49 peratus yang dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam pengambilalihan RM30 bilion atau lebih.
Abu Sahid juga berjanji bahawa sekiranya pengambilalihan itu akan berlaku, tidak akan ada kenaikan caj tol sehingga akhir konsesi pada tahun 2038. Hanya janji sahaja, belum tentu buat lagi. Sebab itulah Kementerian Kewangan minta buat kenyataan yang sahih dan bertulis.
Apakah rancangan pembelian ini ada ‘udang di sebalik batu’? Mengapa pembelian PLUS ini dikaitkan dengan kegagalan Perwaja?
Perwaja Steel dimulakan pada tahun 1982 sebagai satu syarikat usahasama antara Heavy Industries Corp of Malaysia (HICOM) dan Nippon Steel Corp of Japan. Perwaja Steel selepas itu berhutang banyak dan mula mengalami masalah kewangan. Jumlah faedah yang tinggi terpaksa dibayar kerana hutang kebanyakkanya dalam mata wang Yen.
Selepas 6 tahun, pada tahun 1988, Mahathir membawa masuk rakannya, Eric Chia ke dalam Perwaja. Sejumlah RM2 billion disuntik masuk dalam Perwaja dengan dana kerajaan dengan pinjaman sejumlah RM860 juta dari Bank Bumiputra dan KWSP sebanyak RM130 juta. Bangunan baru dibina di Terengganu dan Kedah.
Eric Chia hanya bertahan selama 7 tahun sahaja sehingga tahun 1996. Jumlah kerugian meningkat bila kawan Mahathir itu ambil alih Perwaja. Kerugian naik daripada RM1 billion kepada RM2.49 billion. Malah lebih teruk lagi, keseluruhan hutang Perwaja dianggar sejumlah RM5.7 billion.
Habis itu apa jadi kepada duit KWSP yang dilabur dalam Perwaja?
Anwar Ibrahim pernah buat laporan polis mengenai Eric Chia pada tahun 1999. Eric Chia dikatakan salah guna kuasa beri kontrak bernilai RM957 juta kepada syarikat yang dia ada kepentingan sendiri. Bila disoal, Eric Chia menyatakan bahawa dia melakukan semua itu atas arahan daripada Mahathir.
Selepas Mahathir berhenti jadi PM barulah Eric Chia didakwa di mahkamah atas kesalahan pecah amanah.
“Eric Chia didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran sejumlah RM76.4 juta ke akaun Frilsham Enterprise Incorporated di American Express Bank Ltd., Hong Kong” Utusan Malaysia 11 Februari 2004.
Kemudian Eric Chia dibebaskan dengan ikat jamin RM2 juta selepas tidak mengaku bersalah. Selepas tiga tahun perbicaraan, Eric Chia didapati tidak bersalah dan dibebaskan oleh Mahkamah Seksyen.
Pada tahun 1996, Maju Holdings yang dimiliki oleh Tan Sri Abu Sahid Mohamed telah mengambil alih Perwaja selepas Eric Chia disiasat kerana rasuah. Abu Sahid juga adalah kroni Mahathir. Bertahun tahun Abu Sahid menunggu di depan pagar dan pejabat Mahathir untuk mendapatkan kepercayaan dan projek dari Mahathir.
Bila Perwaja rugi sampai RM10 billion, Mahathir boleh kata Perwaja diuruskan oleh orang yang tidak sepatutnya. “Perwaja Steel gagal kerana orang yang bertanggungjawab mengurusnya tidak begitu memahami proses membuat keluli dan teknologi yang diperlukan” kata Mahathir pada 15 Oktober 2003.
Bila sudah rugi baru tahu orang itu tidak pandai. Pada peringkat awalnya, siapa yang melantik Eric Chia secara terus ke Perwaja? Siapa pula yang serah Perwaja kepada Maju Holding selepas itu? Dua orang ini adalah orang yang rapat dengan Mahathir.
7 Januari 1999, 200 orang pekerja Perwaja di Gurun telah dibuang kerja oleh Maju Holding selepas membuat demonstrasi dan menyiarkan berita sebenar tentang Perwaja dalam Utusan Malaysia.
19 November 2014, kilang Perwaja yang diuruskan oleh Maju Holding juga menutup terus operasinya. 1,500 orang pekerja diberhentikan selepas tidak dibayar gaji dalam tempoh yang lama.
Selepas gagal uruskan Perwaja sehingga ditutup sepenuhnya pada tahun 2014, kini syarikat Maju Holding ingin mengambil alih lebuhraya PLUS pula. Kenapa nampak bersungguh sungguh sangat kroni Mahathir itu mahu membeli PLUS?
Mengapa perlu meminta wakil PKR untuk bertanya hal mengenai pembelian PLUS ini dalam parlimen? Hee Loy Sian, Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya Selatan bertanyakan soalan berkaitan pembelian ini dalam parlimen pada 26 Oktober 2017
Dalam kenyataan balas, Kementerian Kewangan menyatakan kerajaan tidak berhasrat untuk melepaskan kepentingannya dalam PLUS Malaysia Bhd kepada Maju Holdings disebabkan oleh ketidakpastian, risiko dan sumber pembiayaan yang tidak jelas berkaitan dengan rancangan tindakan pengambilalihan.
Kementerian Kewangan memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan berhubung pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya itu tetapi ianya harus praktikal untuk mengelakkan PLUS daripada mengalami nasib yang sama seperti Perwaja Steel Sdn Bhd, yang telah menghentikan operasinya selepas diswastakan.
Selaras dengan ini, kementerian berkata sumber pembiayaan yang jelas dan mantap mesti menyokong rancangan pengambilalihan itu untuk memastikan pengurus aset strategik negara ini dapat menahan sebarang kejutan ekonomi dan ketidaktentuan pertukaran mata wang asing.
“Kami mengalu-alukan semua cadangan, tetapi semuanya perlu praktikal supaya tidak wujud situasi seperti Perwaja yang dahulu di beri privatisation (penswastaan) akhirnya tutup dan tidak beroperasi lagi. Kita berdepan dengan banyak masalah ketika itu” kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani
PLUS tidak perlu diberi kepada Maju Holding yang sudah terbukti gagal dalam pengambilalihan Perwaja. Malah syarikat itu juga rapat dengan Mahathir. Apa apa sahaja boleh terjadi di masa hadapan. Perwaja sudah rugi terkumpul hampir RM10 billion. Jangan biar PLUS jadi projek yang gagal seperti Perwaja.
****************
Rujukan:
Perwaja Steel: Mahathir Tak Mahu Kata Jual Negara Kepada China?
https://pakdin.my/perwaja-steel-mahathir-tak-mahu-kata-jual-negara-kepada-china/
The Perwaja Steel Scandal
https://pakdin.my/the-perwaja-steel-scandal/
Perwaja dijangka pulih Mac 2017, Zhiyuan suntik RM1.8b
https://pakdin.my/perwaja-dijangka-pulih-mac-2017-zhiyuan-suntik-rm1-8b/