Malaysia memerlukan pemimpin yang berpolitik yang menjaga hak rakyat tanpa mengira bangsa atau agama dan bukannya politik kebencian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata idelogi berkenaan yang disemai pihak pembangkang tidak mencerminkan nilai murni baik untuk masyarakat.
Menurutnya sebagai sebuah kerajaan, BN tidak menjanjikan ‘bulan dan bintang’ dan berusaha semampu mungkin untuk memberikan yang terbaik demi kepentingan negara.
“Contohnya pada 1 Januari lalu, kerajaan mansuhkan kutipan tol di empat buah plaza tol, melaksanakan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50), memberikan bantuan kepada nelayan, pekebun kecil dan bantuan persekolahan. Ini tidak termasuk bantuan pendidikan percuma.
“Sebut sahaja tentang keselamatan, hubungan antara kaum, memperjuangkan syiar Islam, kebajikan rakyat, ekonomi negara, semuanya bertambah baik begitu juga dengan prasarana untuk rakyat akan terus dilaksanakan.
“Oleh itu, seluruh Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah akan berubah wajah kerana pemimpin UMNO dan BN bukan orang yang tabur janji atau mainkan politik kebencian, mengata, mengumpat dan kutuk negara dengan kata-kata kesat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bantuan kepada murid sekolah rendah kawasan Parlimen Pekan di Pekan, hari ini.
Turut hadir adalah Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Sementara itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkesempatan menyampaikan sumbangan persekolahan berupa pakaian, beg dan kasut sekolah bernilai RM180 bagi setiap seorang kepada 2,000 murid terpilih yang terdiri di empat DUN dalam Parlimen itu.