Penduduk Orang Asli di Pos Balar mengharapkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mempercepatkan inkuirinya demi menjaga tanah adat mereka daripada dicerobohi termasuk oleh syarikat luar bagi tujuan pembukaan ladang kelapa sawit.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Pos Hendrop, Kamal Rami mendakwa kaum Orang Asli sejak kebelakangan ini semakin tertindas dengan tindakan sesetengah pihak menceroboh tanah adat.
“Boleh dikatakan di merata tempat perkampungan Orang Asli berdepan dengan kemusnahan seperti kejadian banjir lumpur, jika tidak dikawal lebih awal.
“Jalan terakhir sekarang ialah kita serahkan kepada Suhakam bagi menyelesaikan masalah itu dan kita tengoklah tindakan selanjutnya berkesan atau tidak,” katanya kepada Bernama.
Suhakam kini mengadakan penghujahan awam atau konsultasi bagi mendapatkan maklumat berkaitan inkuiri nasional di seluruh negara untuk menentukan pengiktirafan hak tanah Orang Asli berdasarkan perlembagaan, undang-undang, pentadbiran dan politik serta keberkesanannya dalam melindungi dan mempromosi hak Orang Asli.
Seorang penduduk Pos Balar, Mohd Abis Ngah, 38, berkata penduduk kampung itu tidak berupaya melarang mana-mana pihak termasuk syarikat pembangunan ladang memasuki tanah terbabit.
“Kita amat sedih dengan apa yang berlaku sejak kebelakangan ini hingga kita rasa hidup terasing di bumi sendiri apabila banyak tanah diluluskan kepada syarikat bagi pembangunan ladang.
“Tanah itu kita yang paling awal majukan tetapi sekarang dengan mudah orang luar datang mencerobohnya,” katanya.