KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Isnin lalu membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pelbagai pihak.
Pelbagai persoalan dibangkitkan terhadap tindakan Jabatan Peguam Negara, termasuk bekas Peguam Negara, TAN SRI ABU TALIB OTHMAN yang menyifatkan tindakan tersebut seperti bermain ‘wayang kulit’.
Abu Talib yang memegang jawatan tersebut selama 13 tahun menerangkan implikasi keputusan itu.
– Apakah implikasi daripada keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah itu?
TAN SRI ABU TALIB: Apabila pendakwa raya telah menarik balik tuduhan dan mahkamah membuat keputusan membebaskan beliau, maka tiada kes. Guan Eng telah bebas daripada pertuduhan tersebut. Kena ingat kuasa menarik balik tuduhan di mahkamah adalah kuasa Peguam Negara dan tiada siapa boleh mempertikainya termasuk mahkamah.
– Adakah wajar untuk Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria tidak merujuk kepada Peguam Negara, Tommy Thomas dalam membuat keputusan terhadap kes ini?
Itu yang saya maksudkan Mohamad Hanafiah main ‘wayang kulit’. Beliau memberitahu telah memaklumkan kepada Tommy pada pukul 9.44 pagi, itu beliau kata, sebaliknya kita tak tahu.
– Bagaimana Tommy selaku Peguam Negara hendak menghadapi isu dan kes yang mempunyai kepentingan dengan dirinya, memandangkan sebelum ini beliau merupakan peguam kepada Guan Eng.
Saya tidak boleh komen bagi pihak Tommy, tapi ketika saya menjadi Peguam Negara dahulu, saya tidak pernah menarik balik kes yang sedang berjalan dan dalam perbicaraan.
Kalau nak tarik balik kes, saya akan menerangkan kepada pihak polis dan mereka yang menyiasat kes tersebut, memaklumkan alasan-alasan yang munasabah tarik diri kerana peranan pihak yang menyiasat perlu dihormati.
– Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang terhadap Guan Eng telah mencetuskan kontroversi sehingga mendapat desakan daripada pelbagai pihak, tetapi sekiranya Tommy terus berdiam, apa pendapat Tan Sri?
Tommy berhak untuk terus berdiam sebab beliau telah mengeluarkan kenyataan pada 2 Ogos lalu untuk tidak campur tangan dalam kes tersebut demi keadilan.
Bagaimanapun, nasihat saya supaya Jabatan Peguam Negara lebih berhati-hati selepas ini dalam menangani kes yang mendapat perhatian umum.
– Bagaimana pula kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan daripada kes ini?
Terpulang kepada orang ramai dan pihak luar dalam menilai, pastinya mereka yang mengikuti kes ini daripada awal mempunyai penilaian sendiri.
…………