Ekonomi negara makin teruk: Apakah Bajet Rejim PH 2019 mampu memulihkannya? - pakdin.my

1. Kurang 2 minggu lagi bermula hari ini, rakyat Malaysia akan dipersembahkan buat kali pertamanya BAJET 2019 oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) . Saya percaya seluruh rakyat Malaysia tertunggu-tunggu saat ini kerana inilah Bajet sulung Kerajaan PH sejak membentuk Kerajaan pada 9 Mei yang lepas.

2. Adalah molek kiranya, saya dapat berkongsi pandangan saya mengenai status ekonomi dan kewangan negara kita sebelum kita bersama-sama menghadam apakah dasar ekonomi dan polisi yang bakal dibentangkan oleh YB Lim Guan Eng pada 2 November kelak.

3. Selepas hampir 5 bulan memerintah, Kerajaan PH sebenarnya belum menampakkan sebarang dasar yang meyakinkan sehingga membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi yang amat perlahan dan semakin lemah jika dibandingkan sasaran asal oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dulu. Bank Dunia di dalam laporan terkini telah menurunkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia dari 5.4% kepada 4.9%., dengan unjuran bahawa tahun 2019 adalah lebih lemah. Ini menjadikan Malaysia sebagai negara terburuk dikalangan 15 negara Asia yang rata-ratanya kadarnya tidak berubah.

4. Angka-angka perdagangan negara kini juga pada tahap membimbangkan kerana nilai eksport menguncup 5% sejak bulan Julai dan menjadikan jumlah setakat Ogos RM 81.8bn, manakala import meningkat menjadi jumlahnya RM 80.2bn. Amat mengejutkan bagaimana satu ketika sebelum PRU14, lebihan dagangan negara boleh mencecah lebih dari RM 10.0bn kini jatuh menjunam kepada hanya RM 1.6bn? Jawapan Kerajaan PH mudah, kerana eksport minyak sawit mentah dan produk berkaitan sawit menjunam 27% berbanding tahun 2017. Siapakah yang harus dipersalahkan? Bukankah China pembeli minyak sawit terbesar Malaysia dan adakah polisi tidak mesra China yang diamalkan oleh Kerajaan PH kini sudah mula mendapat tempiasnya? Bagaimana pula nasib Peneroka FELDA dan pekebun kecil sawit?

5. Sudahlah angka perdagangan yang membimbangkan, Bank Negara Malaysia (BNM) juga melaporkan bahawa rezab matawang asing negara menguncup sekali lagi sebanyak USD 1.3bn kepada USD103bn. Ini sekaligus mengesahkan dakwaan pengaliran keluar dana oleh pelabur-pelabur asing secara besar-besaran sejak PH memerintah. Malah kadar tukaran wang USD ke Ringgit Malaysia juga menurun sehingga 30% mencecah RM 4.16 bagi setiap dollar Amerika dari sebelum PRU14.

6. Seharusnya kerajaan mengambil serius ulasan Bank Dunia terhadap ekonomi Malaysia bahawa risiko utama kepada pertumbuhan ekonomi adalah ketidaktentuan polisi domestik dan dasar kerajaan yang masih kabur, perkembangan geopolitik, POLISI-POLISI POPULIS kerajaan yang tidak menguntungkan negara jangka panjang, pertumbuhan perlaburan yang perlahan dan naik turun harga komoditi seperti minyak dan sawit

7. Selain itu, isu Hutang Isi Rumah (Household Debt) perlu diambil perhatian walaupun kurang mendapat liputan oleh media arus perdana. Laporan Bank Dunia yang sama juga mendedahkan bahawa Malaysia adalah antara 2 negara yang Hutang Isi Rumahnya telah melebihi paras 70% dari KDNK atau bersamaan hampir RM 900bn. Ramai penganalisa ekonomi menjangkakan Hutang Isi Rumah Malaysia akan melonjak dan meletus hingga tidak dapat dikawal.

8. Agensi penarafan kredit antarabangsa, Fitch berpendapat kadar Hutang Isi Rumah meningkat secara mendadak disebabkan ‘Hadiah Kerajaan PH’ yakni kadar GST sifar selama 3 bulan telah membuatkan rakyat berbelanja seperti membeli kereta dan menggunakan kad kredit tanpa batasan. Fitch menjangkakan perbelanjaan isi rumah akan berkurangan pada tahun hadapan kerana rakyat akan menggunakan wang mereka untuk membayar hutang. Ini boleh melemahkan ekonomi negara kerana Perbelanjaan Domestik adalah pemacu utama KDNK negara.

9. Harapan palsu yang ditabur Kerajaan PH bahawa rakyat bakal menikmati harga barangan lebih murah dengan pemansuhan GST dan pengenalan SST sebagaimana kata YB Tony Pua, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Kewangan turut menjejaskan pendapatan negara sehingga RM20bn. Namun pemansuhan yang hanya menguntungkan tauke-tauke besar ternyata terus membebankan rakyat kerana harga barangan masih tidak menandakan ada penurunan selepas SST dikuarkuasakan. Bancian KPDNKK pada lebih 384 barangan pengguna mendapati hanya 51 barangan yang merekodkan kenaikan 5% ke 10%, 29 barangan turun sekitar 4% ke 6%, dan 304 barangan tidak berubah jika dibandingkan harga semasa GST. Kini rakyat Malaysia terpaksa menanggung pula beban baru melalui cukai-cukai tambahan yang bakal diumumkan pada sesi Bajet 2019 nanti bagi menampung kelompongan besar pendapatan negara. Adakah ini ciri-ciri Kerajaan yang bertanggungjawab?

10. Baru-baru ini, kecoh satu negara apabila YB Lim Guan Eng menamatkan kontrak pakej bawah tanah MRT2 yang dipegang oleh MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd walaupun telah hampir 40% siap. Dijangkakan lebih 20,000 pekerja dan 3,000 daripadanya adalah tenaga mahir bidang pengorekkan terowong hilang pekerja serta menjejaskan lebih 600 syarikat di dalam pakej ini. Penganalisa ekonomi juga berpendapat pembatalan projek-projek mega yang memberikan nilaian ekonomi berganda seperti MRT2, MRT3 dan ECRL turut menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang rendah.

11. Rasional penjimatan dalam perbelanjaan pentadbiran tidak sama dengan perbelanjaan untuk pembangunan. Seharusnya dalam aspek perbelanjaan pembangunan kerajaan harus mengambil kira potensi kesan gandaan ekonomi (multiplier effect) yang bernilai berbilion-billion Ringgit yang boleh dinikmati oleh rakyat melalui projek-projek Mega sebagaimana yang pernah dilaksanakan ketika Perdana Menteri ke-4 dulu. Malah, pembatalan projek-projek mega ini juga akan menafikan hak rakyat untuk memperoleh kualiti hidup yang lebih baik, kenaikan nilai hartanah dan penambahan perniagaan-perniagaan baru.

12. Selaku negara yang berdagang dan mengamalkan polisi perdagangan terbuka, Malaysia seharusnya mengambil manfaat dari CPTPP atau TPP-11 sekiranya mahu terus merekodkan lebihan dagangan positif. Saya amat gusar dengan kenyataan YAB Perdana Menteri sewaktu lawatannya ke China tempoh hari yang menggambarkan keengganan Malaysia untuk menyertai dan meratifikasi perjanjian bebas terbabit. Penganalisa perdagangan berkata keengganan Malaysia hanya akan menyebabkan negara jiran, Vietnam akan mendahului Malaysia.

13. Justeru saya menyeru agar YB Lim Guan Eng dan rakan-rakan PH beliau untuk segera merencanakan dasar ransangan ekonomi yang lebih berkesan. Pelabur-pelabur asing terutamanya lebih berminat dengan dasar dan polisi ekonomi yang meyakinkan berbanding cerita-cerita sensasi Kerajaan PH yang berterusan mencari salah dan membongkar kisah lama yang semacam tiada kesudahan.

14. Rakyat juga tentunya tertanya-tanya bagaimana Kerajaan BN lalu boleh memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat daripada BR1M, sara hidup bulanan nelayan dan petani hinggalah kenaikan gred gaji penjawat awam dan pelbagai perkhidmatan kerajaan yang bayarannya nominal hatta percuma dalam keadaan ditohmah negara bankrap, namun di bawah Kerajaan PH banyak dimansuhkan bahkan ekonomi bertambah teruk. Mungkin Bajet 2019 Pakatan Harapan bakal menjanjikan harapan baru untuk rakyat. (Kali ini janji kena ditepati!)

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

https://asia.nikkei.com/Business/Markets/Nikkei-Markets/World-Bank-sharply-cuts-Malaysia-s-2018-growth-view

UTAMAEKONOMIEkonomi negara makin teruk: Apakah Bajet Rejim PH 2019 mampu memulihkannya?

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium