Pelbagai pihak terus mengecam keceluparan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mengenai kenyataannya berhubung tragedi Bukit Kepong.
Terbaru, dua kumpulan N-G-O membuat laporan polis meminta agar beliau diambil tindakan sewajarnya, sebagai satu pengajaran supaya lebih beretika dalam setiap ucapannya.
Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia, IRIMM dan Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia, DESMMA tampil membuat laporan di balai polis Setapak, 11.30 pagi tadi.
Tambah mereka, Mat Sabu sebagai seorang Islam, tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan menghina polis dan pejuang lain yang terbabit dalam insiden itu demi kepentingan politik dan kuasa.
21 Ogos lalu, Mat Sabu pada ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang – didakwa mengeluarkan kenyataan pengganas yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong 23 Februari 1950, adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.