Misteri kehilangan Mohd Haziq Mohd Tarmizi susulan serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu terungkai apabila remaja itu disahkan maut.
Berita kematian Mohd Haziq, 17, itu juga sudah diterima Wisma Putra.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai masa dan lokasi penemuan mayat Mohd Haziq akan dimaklumkan selepas maklumat lanjut mengenainya diterima nanti.
Haziq adalah anak kedua Mohd Tarmizi Shuib, 42, rakyat Malaysia yang parah dalam serangan di Masjid Al Noor.
Ketika kejadian Tarmizi bersama dua anaknya, Mohd Haris, 12, dan Haziq hadir untuk menunaikan solat Jumaat di masjid itu. Mohd Haris terselamat tetapi trauma manakala bapa mereka parah ditembak.
Insiden serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand itu mengorbankan 50 individu serta mencederakan puluhan yang lain, termasuk tiga rakyat Malaysia, pada jam 1.40 tengah hari (waktu tempatan), Jumaat lalu.
Selain Mohd Tarmizi dari Alor Setar, Kedah, dua lagi rakyat Malaysia yang tercedera akibat serangan itu ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Kampung Binja, Bayan Lepas di sini dan Mohd Nazri Hisham Omar, 46, dari Shah Alam, Selangor.
Ketiga-tiga mereka kini menerima rawatan di Hospital Christchurch, New Zealand.
Semalam, polis New Zealand dalam kenyataan di Facebook berkata, setakat ini 12 mangsa terbunuh sudah dikenal pasti.
“Kita sedar kekecewaan keluarga mangsa berhubung tempoh panjang dalam proses pengesahan identiti mangsa serangan Jumaat lalu, namun kami berusaha mempercepatkan proses.
“Mungkin proses mengenal pasti mangsa kelihatan mudah, namun ia lebih kompleks, terutama membabitkan situasi seperti ini,” kata kenyataan itu.
https://pakdin.my/tag/masjid-christchurch