KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) — Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin hari ini menggesa kepimpinan Pas menyatakan pendirian parti itu berhubung kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu yang mengecilkan pergorbanan pejuang kemerdekaan dalam tragedi Bukit Kepong, 61 tahun lepas.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berpendapat, selepas Pengerusi DAP Karpal Singh mengeluarkan kenyataan menolak tindakan Mohamad itu, Pas perlu menjelaskan pendirian parti itu bagi mengelak mengelirukan masyarakat.
“Selepas Karpal Singh sendiri membantah tindakan Mohamad, apa yang dilakukan Mat Sabu (Mohamad) itu bukanlah sebagai suara pihak pembangkang tetapi ia mengelirukan rakyat tentang pakatan mereka (Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat),” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Sabu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu semasa berceramah di Tasek Gelugor di sini pada 21 Ogos lepas dikatakan mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang dan membunuh 25 anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Dr Awang Adek berkata, Mohamad seharusnya mempamerkan sikap seorang pemimpin tertinggi sebuah parti yang menegakkan agama Islam dengan tidak menyokong fahaman komunis yang sudah pupus dan ketinggalan zaman.
“Malahan fahaman itu ditolak oleh mana-mana agama sekalipun, ditolak oleh dunia sejak 40 tahun lepas dan zaman komunis sudah berlalu seperti Soviet Union yang hapus dan tidak diterima masyarakat dunia umumnya,” katanya.
Dr Awang Adek yang turut merasa hairan dengan tindakan Mohamad itu berkata sehubungan itu rakyat harus bijak menilai perilaku sebenar pemimpin parti itu yang sentiasa mencari ‘kerenah’ untuk mengelirukan rakyat.
Menurutnya, sebagai seorang pemimpin Islam, Mohamad sepatutnya berfikir dengan waras sebelum membuat sebarang kenyataan dan sentiasa bercakap benar.
“Mat Sabu tidak harus menimbulkan semangat menentang kerajaan seperti dahulu di mana komunis melawan tentera British…ia seolah-olah menanamkan kebencian terhadap kerajaan, perjuangan Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn (Jaafar) tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Di PASIR PUTEH, Kelantan, lebih 10 anggota Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) diketuai oleh anggota jawatankuasa PBTM Pasir Puteh, Zawawi Mohamed, 64, membuat laporan polis berhubung kenyataan Mohamad di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh hari ini.
“Kita mahu polis membuat siasatan segera dan menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” kata Zawawi kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan.
Dalam aduannya itu, Zawawi berkata pihaknya kesal dan rasa terhina apabila komunis dianggap sebagai hero dalam tragedi itu dan tindakan Mat Sabu berniat jahat untuk memutarbelitkan fakta sejarah demi kepentingan politik.
“Saya berharap kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.
Di TASEK GELUGOR, Umno Pulau Pinang menyifatkan percanggahan pendapat dalam pakatan pembangkang mengenai kenyataan Mat Sabu, sebagai bukti tiada persefahaman di kalangan mereka.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata ia terbukti apabila pandangan Karpal Singh berbeza dengan kenyataan rasmi pakatan pembangkang.
Katanya Karpal meminta Mohamad supaya menarik balik kenyataannya manakala kenyataan rasmi pakatan pembangkang menyokong kenyataan pemimpin PAS itu.
“Saya harap rakyat melihat perkembangan ini dan menjadikannya sebagai iktibar terutama tindakan mereka yang tidak menghargai jasa pejuang yang terkorban bagi mencapai kemerdekaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Tasek Gelugor.