SHAH ALAM: “Saya masih menteri besar… jadi spekulasi tidak relevan pada masa sekarang,” tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menolak dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bahawa wujud konspirasi didalangi pihak berkuasa agama di negeri ini untuk menjatuhkan jawatannya sebagai Menteri Besar.
Abdul Khalid juga tidak setuju dengan pandangan bahawa kedudukannya dibelakangkan apabila Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk menjelaskan pemeriksaan ke Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos tanpa pengetahuannya.
“Saya hanya mengeluarkan arahan tutup mulut kepada Exco kerajaan negeri, manakala Mais pula bertanggungjawab kepada Sultan Selangor dan bukannya kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam. Ditanya mengenai pertemuan itu diadakan tanpa pengetahuannya, Menteri Besar sekali lagi mengetepikan perkara itu sambil meminta wartawan supaya bercakap terus dengan Mais dan Jais.
Kelmarin, Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor mendedahkan terdapat pertemuan antara Mais, Jais dan NGO Islam baru-baru ini yang didakwa merancang untuk menjatuhkan Abdul Khalid.
Sementara itu, Abdul Khalid mempertahankan tindakan Jais memanggil Khalid Samad atas dakwaan menyampaikan tazkirah tanpa tauliah di sebuah surau di Taman Seri Sementa, Kapar, Klang, pada 16 Ogos lalu.
“Kita perlu mengikut enakmen yang ada berhubung isu terbabit. Mais dan Jais sudah diberi kuasa memberi kebenaran kepada mereka yang dirasakan layak untuk memberikan ceramah,” katanya.
Khalid Samad dipanggil ke pejabat Jais Selasa lalu untuk direkodkan keterangan berhubung dakwaan itu.