KUALA SELANGOR, 22 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata antara faktor yang penting untuk mendapatkan sokongan rakyat ialah kesanggupan parti membawa perubahan dalam negara.
Apabila kerajaan berani membuat perubahan, ia akan membuka minda rakyat dan memberi harapan baru kepada mereka, katanya semasa merasmikan Perhimpunan Pemimpin-Pemimpin Barisan Nasional (BN) Bersama Rakyat dan Jamuan Sambutan Aidilfitri di perkarangan Pasaraya Tesco di sini, malam Khamis yang dihadiri lebih 10,000 orang.
“Kita tidak akan janjikan perubahan, kita akan bawa perubahan dan melaksanakan perubahan. Inilah pendekatan terbaik untuk membuka minda rakyat dan memberi harapan baru untuk rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, Najib, yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN berkata BN perlu bekerja lebih keras untuk memenangi pilihan raya kali ini terutamanya bagi menawan Selangor kerana persaingan kali ini akan lebih sengit tidak seperti dahulu.
“Yang penting adalah parti, tetapi masa kini calon yang berwibawa adalah penting untuk kemenangan. Oleh itu, jangan pandang ringan sebab pencabar kita bukan calang-calang orang dan kita terima hakikat perlu menampilkan calon yang terbaik,” katanya.
Najib berkata selain itu sikap pemimpin yang berhemah, merendah diri dan sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat adalah antara faktor yang akan memastikan rakyat memberi sokongan yang lebih padu kepada parti.
Pendekatan seperti ini akan memberikan rakyat peluang untuk menilai akal budi, melihat kelakuan pemimpin sama ada mereka ini berhemah, sanggup merendah diri bersama-sama dengan rakyat tanpa rasa adanya jurang ataupun protokol dengan mereka, katanya.
Beliau juga berkata kerajaan BN sejak zaman Perikatan lagi telah mendahului zaman dalam membawa perubahan iaitu dalam konsep perkongsian kuasa antara tiga kaum utama di negara ini yang tidak pernah dilakukan oleh negara lain dalam era 1950an.
“Ini bererti kita mendahului zaman. Hari ini pembangkang cuba membawa perubahan reformasi, (tetapi) tidak sampai ke mana. Banyak janji tidak dapat ditunaikan.
Pembohongan paling besar ialah 16 Sept 2008.
“Kita mesti ingat tiga tahun dulu siapa buat pembohongan paling besar mengenai BN akan tumbang,” katanya.
Menyentuh mengenai program perhimpunan itu, Najib berkata beliau amat menghargai kesanggupan 170 wakil rakyat Barisan Nasional, yang terdiri daripada Anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dari seluruh negara yang sanggup berkampung bersama rakyat di Selangor.
Beliau berkata berikutan sambutan yang menggalakkan, program ini akan turut diadakan di negeri lain termasuk Perak tidak lama lagi.