Baru hari pertama, namun Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudahpun kecoh dek kerana pertengkaran malah pergaduhan fizikal melibatkan sayap pemuda dan pemerhati.
Lebih mengejutkan, beberapa lelaki dikatakan cedera hingga berdarah akibat pergaduhan yang berlaku di luar Dewan Kongres AMK di MITC, Ayer Keroh, Melaka.
Awal pagi tadi juga berlaku kekecohan apabila beberapa perwakilan yang dilarang masuk ke dewan berang dan cuba merempuh masuk biarpun dihalang petugas keselamatan.
Insiden tersebut pantas menjadi buah mulut rakyat yang sememangnya sudah sedia maklum wujudnya bibit-bibit ‘persengketaan’ dalam AMK seperti dilaporkan media kebelakangan ini.
Tatkala MITC kecoh, suasana di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pula kelihatan tenang meskipun program parti, Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU2019) sedang berlangsung di sana.
Tinjauan Sinar Harian mendapati meskipun Dewan Merdeka penuh namun ahli-ahli yang tidak dapat masuk ke dewan ‘tidak kisah’ berdiri, duduk bersila di sekitar dewan.
Suasana mungkin sedikit panas di dalam dewan namun ia hanya panas kerana ucapan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bukan kerana pertengkaran atau pergaduhan.
Mungkin bait-bait lagu UMNO: “Bersatu kita bersatu, dengan setia berganding bahu,” yang diungkapkan setiap kali persidangan menguatkan lagi ikatan antara mereka
Sejak hari pertama bersidang, boleh dikatakan tiada insiden tidak diingini berlaku esok, hari terakhir, dijangka persidangan akan tamat tanpa sebarang perkara negatif.
Sementara itu, berbalik kepada insiden PKR, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Lembaga Disiplin Parti untuk mengambil tindakan memecat pelaku yang bertanggungjawab.
“Ingin saya maklumkan perlakuan biadab ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan tegas,” katanya.
Diharapkan semua ahli parti yang sedang berkongres, berkonvensyen dan bersidang mampu mengawal emosi, mengawal amarah bagi memastikan segalanya berjalan lancar.
Perlulah diingat, anda membawa nama parti dan sekiranya ada insiden negatif berlaku, orang menghentam parti anda terlebih dahulu, barulah anda. SINAR