“Bila sudah kena batang hidung sendiri, baru dia sedar yang janji perlu dikotakan?”
Itu persoalan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Chan Quin Er mengulas kenyataan Wan Azizah yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang berkata Tun Dr Mahathir Mohamad perlu mengotakan janji menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Wan Azizah, pelantikan jawatan Perdana Menteri sememangnya memerlukan sokongan ahli Dewan tetapi pada masa sama, Mahathir perlu melunaskan janjinya itu.
Mengulas kenyataan itu, Chan bertanya: “Janji PH (Pakatan Harapan) kepada rakyat macam mana pula? Oh lupa…Manifesto bukan kitab suci”.
Katanya, PH berebut jawatan sesama sendiri tetapi janji untuk kebajikan rakyat diabaikan. – MalaysiaGazette