Perbalahan antara dua sekutu pembangkang iaitu PAS dan DAP berhubung isu hudud dilihat tidak berkesudahan apabila bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menuntut Lim Guan Eng membuat permohonan maaf secara terbuka.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP digesa berbuat demikian kerana didakwa secara konsisten mencampuri prinsip dan asas perjuangan PAS terutamanya berkaitan perlaksanaan hukum hudud.
Nasharudin menegaskan beliau menghormati perbezaan pendapat yang wujud dalam pakatan pembangkang namun tindakan pimpinan DAP yang secara terbuka mengkritik hukum hudud disifatkan sebagai keterlaluan.
“Pendirian Guan Eng tentang hudud bercanggah dengan kenyataan Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) iaitu hudud adalah satu kewajipan dan bukannya pilihan.
“Beliau perlu tarik balik kenyataan kerana kalau tidak isu ini akan jadi lebih besar. Kita terima perbezaan pandangan tapi perlu menghormati amalan penganut agama lain,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang yang menegaskan hukum Islam itu bukan dasar pakatan pembangkang.
Ia kenyataan pertama daripada pemimpin tertinggi DAP itu sejak kemelut mengenai hukum hudud mencetuskan perbalahan terbuka antara pemimpin PAS dan parti berkenaan sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu ditanya mengenai dasar pakatan pembangkang yang sememangnya tidak menyentuh mengenai hukum hudud, Ahli Parlimen Bachok itu mengakui memahami polisi yang dipersetujui itu.
“Saya tahu, tapi bila mereka masuk campur dalam polisi dan asas perjuangan sesuatu organisasi…bagi saya ia adalah campur tangan,” katanya.