Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 Kuala Lumpur dikuasai atlet gimnastik artistik dengan Danniel Iskandar Richard yang mewakili Selangor dinamakan Olahragawan dan atlet Sarawak Esmelda Arecia Menti Alfred Geling sebagai Olahragawati.
Danniel Iskandar, 19, meraih tiga pingat emas menerusi acara individu lelaki, berpasukan lelaki dan kekuda berpelana lelaki serta dua pingat perak daripada acara melombol dan palang tunggal.
Atlet elit dari skuad gimnastik kebangsaan itu berkata tidak terlintas di fikirannya untuk meraih penghormatan tersebut kerana ramai atlet yang hebat turut beraksi pada Sukma kali ini.
“Saya juga rasa bangga kerana dapat membantu kontinjen Selangor menjadi juara keseluruhan pada tahun ini dan ianya bukan satu perkara mudah bagi saya kerana terpaksa bekerja keras untuk meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak,” katanya kepada pemberita di sini, Ahad.
Atlet yang berasal dari Shah Alam, Selangor itu berkata kejayaan berkenaan cukup bermakna buat dirinya kerana ini adalah penyertaan terakhirnya dalam Sukma.
“Kejayaan hari ini bukan milik saya seorang sebaliknya menjadi milik bersama ibu bapa, rakan-rakan serta penyokong kontinjen Selangor yang telah banyak memberi semangat serta dorongan kepada saya selama ini,” katanya.
Danniel Iskandar berkata, tumpuannya selepas ini ialah untuk terus berlatih secara gigih sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Singapura pada 2015.
Pencapaian terbaik Danniel Iskandar sebelum ini ialah memenangi dua pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukma ke-15 edisi Pahang 2012.
Sementara itu, Esmelda Arecia, 13, merangkul dua pingat emas daripada acaramelombol dan batang titian selain meraih dua pingat perak (acara berpasukan wanita, palang bertingkat) dan satu gangsa daripada acara individu wanita.
Atlet dari Kuching, Sarawak itu berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan tersebut dan berharap mampu mengekalkan kecemerlangan pada Sukma berikutnya.
“Saya mahu terus gigih berlatih,” kata gadis berturunan Iban itu.