Sabtu, 14 Sept akan bermula persaingan untuk mengisi jawatan dalam Umno apabila borang pendaftaran calon diedarkan.
Bagi calon yang berminat untuk bertanding di peringkat jawatankuasa bahagian dan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian, borang pendaftaran boleh diambil di pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri bermula esok dari 8 pagi hingga 5 petang.
Calon yang ingin bertanding bagi semua jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) dan jawatan di peringkat Exco Pergerakan Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri Umno Malaysia, perlu mendapatkan borang pendaftaran calon di Ibu Pejabat Umno Malaysia, bermula tarikh dan masa yang sama.
Kesemua calon mempunyai masa seminggu untuk memikirkan jawatan yang sesuai dan mahu ditandingi sebelum menyerahkan kembali borang pendaftaran masing-masing pada 21 Sept sebelum 5 petang.
Menurut Aturan Kaedah Pemilihan dan Borang Pendaftaran yang dikeluarkan Umno, calon perlu memastikan borang yang dihantar lengkap dengan nama wakil calon serta mendapat pengesahan kelayakan bertanding daripada pihak Bahagian.
Borang pendaftaran calon yang dikembalikan akan dinilai jawatankuasa penilaian yang akan membuat saringan ketat termasuk memastikan calon bebas daripada kebankrapan, sebelum layak untuk persaingan muktamad pada Oktober.
Berdasar kepada sistem pemilihan baharu Umno, yang pertama kali dilaksanakan tahun ini, peluang terbuka luas kepada mana-mana jua anggota Umno untuk bertanding asalkan memenuhi kelayakan minimum, iaitu sekurang-kurangnya menjadi anggota parti selama sepenggal atau tiga tahun layak untuk bertanding di peringkat bahagian.
Bagi jawatan peringkat pusat sama ada Anggota Majlis Tertinggi (MT), Naib Presiden, Timbalan Presiden waima Presiden sekalipun, kelayakan minimum adalah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) bahagian selama sepenggal.
Sebelum pindaan perlembagaan parti pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 bahagian Umno.
Apa yang pasti, bermula Sabtu, ‘mata-mata’ peminat politik tanah air akan tertumpu kepada langkah setiap anggota Umno, baik yang memanjat tangga pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri mahupun Menara Datuk Onn, untuk menilai sama ada ‘baju yang ditempah’ menepati ukuran badan sendiri atau sebaliknya.
Ini kerana pemilihan Umno kali ini disifatkan sangat penting dan mempunyai signifikan yang cukup besar dengan kelangsungan parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah negara.
Mengulas aspek itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara Prof Datuk Abdul Halim Sidek menegaskan atas faktor kelangsungan parti, calon yang mahu menawarkan diri bertanding perlu ‘tahu diri’ manakala para perwakilan pula perlu bijak menilai.
Beliau berkata calon yang menawarkan diri bertanding harus ada ciri-ciri penting sebagai pemimpin termasuk amanah, berintegriti dan sentiasa mendahulukan masyarakat.
“Calon yang sudah lapuk atau pernah terpalit dengan masalah tak payah lah calonkan diri kerana hanya akan menyulitkan perwakilan untuk membuat pilihan.
“Pada masa sama, perwakilan perlu bijak menilai…saya yakin jika perwakilan mengundi calon yang mempunyai ciri-ciri itu, mereka akan mendapat calon terbaik untuk seterusnya menerajui parti keramat itu,” katanya.
Harapan lebih tinggi adalah untuk menyaksikan calon bertanding secara adil tanpa adanya elemen politik wang dan menggunakan kedudukan untuk meraih undi, yang disifatkan penganalisis Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu sebagai ‘taktik lapuk’.
Katanya signal jelas yang perlu dihantar kepada umum pada pemilihan Umno kali ini ialah Umno tidak akan lagi membuka ruang kepada pemimpin tidak berintegriti.
Mesej yang juga perlu dihantar ialah perlu ada ‘expiry date’ bagi pemimpin sebab kalau yang ‘sudah lapuk’ itu terus dipilih, bilakah pemimpin-pemimpin baharu berpeluang untuk memberi sumbangan mereka kepada parti?,” katanya.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Alhabshee pula mengulangi nasihatnya bahawa pemilihan parti bukanlah satu acara pesta untuk berseronok, sebaliknya satu tanggungjawab kepada parti.
“Saya minta mereka yang akan mengambil borang esok yang akan menawarkan diri untuk bertanding untuk tanya diri sendiri, apa kita akan transform supaya Umno ini terus relevan. Kita kena berfikir di luar kotak, kita tak boleh fikir dalam kepompong kita. Jadi pada mereka yang nak ambil borang jangan seronok setakat nak bertanding sahaja,” katanya.
Syed Ali yang mengumumkan tidak akan bertanding sebarang jawatan di peringkat pusat, turut menggalakkan agar ruang kepada pemimpin muda dibuka seluas-luasnya, sesuai dengan aspirasi Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meremajakan Umno.