Memasuki tahun baharu 2014, ramai yang mengeluh bimbang dengan kenaikan harga pelbagai barang dan keperluan harian, terutama susulan rasionalisasi subsidi selain semakan semula tarif elektrik.
Isi rumah yang dulunya mempunyai lebihan perbelanjaan di hujung bulan kini risau ia mungkin berbaki negatif.
Namun, tinjauan di ibu kota mendapati masih wujud premis perniagaan termasuk pasar raya besar yang menawarkan harga murah selain memberi jaminan akan meneruskan konsep itu sebagai cara ‘membantu rakyat’.
Ketua Bahagian Tanggungjawab Sosial Korporat, Unit Hal Ehwal Korporat Tesco Malaysia Low Lee Ann berkata pihaknya akan terus mengekalkan harga murah seboleh mungkin, sesuai dengan prinsip ‘Berusaha Demi Anda’ yang dipegang syarikat itu.
Mengakui kos operasi sememangnya agak meningkat kebelakangan ini, Low berkata mereka tidak ‘memindahkan’ kos itu kepada pengguna, sebaliknya melakukan beberapa perubahan dari segi pengurusan bagi mengekalkan harga murah.
“Sebagai contoh, tahun lalu kami melancarkan kempen menjimatkan elektrik dan berjaya mengurangkan kos elektrik sebanyak tiga peratus,” katanya semasa ditemui di pasar raya besar itu di Kepong.
Tesco juga, tambah Low, turut mengaplikasi kecanggihan teknologi bagi membantu rakyat berjimat dalam berbelanja menerusi kaedah pembelian secara dalam talian dilaksanakan di sekitar Lembah Klang, Johor Baharu dan Pulau Pinang.
“Dengan bayaran penghantaran serendah RM10, membeli secara online selain menjimatkan masa turut menjimatkan kos petrol dan pengguna juga lazimnya akan membeli apa yang diperlukan,” katanya.
Tesco mempunyai 49 cawangan di seluruh negara dan bilangan itu akan ditambah dalam masa terdekat.
Bagi Pengurus Sokongan Pasar Raya Besar Giant Batu Caves, Wahida Md Shariff, pasar raya itu sentiasa melakukan pelbagai promosi setiap bulan dan di musim perayaan bagi menawarkan harga terendah, sesuai dengan slogannya ‘Peneraju Harga Terendah’.
“Ramai membeli stok barangan pada hujung bulan selepas mendapat gaji dan tidak perasan ada barang lebih murah semasa promosi. Pelanggan perlu rajin menyemak laman web kami untuk mengetahui hari promosi diadakan,” kata Wahida.
Selain itu, katanya, pasar raya besar itu juga banyak menawarkan barangan jenama sendiri meliputi produk makanan hingga ke barang penjagaan diri pada harga lebih murah dan kualiti yang memuaskan.
Pengurus Pasar Raya Besar NSK cawangan Wangsa Maju, Chew Lian Kim berkata harga barang di situ sentiasa dipantau dan dibandingkan dengan beberapa kedai lain sekitarnya untuk mendapatkan ‘harga terbaik’.
Tambahnya, penjimatan di NSK lebih dirasai golongan pemborong yang membeli barang dalam kuantiti banyak kerana lebih banyak potongan harga diberikan.
“Misalnya, harga syiling seekor ayam yang ditetapkan Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) RM7.50 sekilogram, tapi di sini kami jual RM7.10 sekilogram dan lebih murah jika membeli lebih lima ekor,” jelasnya.
Pesara kerajaan, Mat Jusoh Lah, 62, berkata antara cara berjimat yang beliau amalkan ialah membeli barang berdasarkan kuantiti dan membuat perbandingan harga sebelum membeli.
“Beli di pasar malam memang selalunya lebih murah dan segar, tetapi ada masanya kena juga beli di pasar raya sebab pasar malam pun hanya seminggu sekali di kawasan rumah saya, jadi kenalah buat pilihan tepat dengan mencari pasar raya yang tawar harga lebih murah,” katanya.
Eksekutif Teknologi Maklumat Muhammad Alimin Ali, 27, berkata beliau lebih gemar membeli barang di pasar raya besar kerana boleh mendapatkan barang basah dan kering serentak.
“Tambahan pula tempat letak kereta banyak serta percuma dan di samping beli barang, boleh terus bayar bil kerana banyak pasar raya ada pejabat pos dan kaunter syarikat telekomunikasi,” katanya.
Bekas pengawal keselamatan Mohd Zain Sulaiman, 72, pula berkata antara penjimatan yang dilakukannya ialah membeli barangan jenama pasar raya berkenaan.